suria

Jutawan nak beli gunung RM63 juta untuk ukir wajah keluarga, anjing peliharaan

Pemandangan Mount Rushmore yang terletak di South Dakota, Amerika Syarikat. - Foto Getty

JIKA ditanya apakah yang anda akan lakukan jika anda seorang jutawan, anda mungkin mahu membelikan sebuah rumah untuk ibu bapa atau mengembara ke destinasi menarik.

Namun, seorang jutawan memutuskan untuk mengabadikan keluarganya di atas batu.

Menerusi pusat belian mewah dalam talian HushHush.com, satu permintaan iklan untuk mengukir wajah pada gunung yang bernilai £12 juta (RM63 juta) telah dimuat naik.

Jutawan itu menghantar pesanan kepada kakitangan laman web itu selepas membeli seutas rantai mewah dengan berkata: "Terima kasih kerana membantu saya minggu lalu.

"Isteri saya menyukai rantai itu. Saya ada permintaan lain... Saya terfikir jika anda tahu mana-mana gunung untuk dijual?

"Mungkin gunung yang bertebing? Tujuan saya bertanya adalah kerana saya ingin membelinya dan mengukir wajah keluarga saya sebagai satu kejutan.

"Bagus jika dapat abadikan keluarga saya dan ini adalah cara yang menyeronokkan serta unik untuk melakukannya.

"Saya terfikir untuk melakukannya seperti Mount Rushmore."

Nilai RM63 juta itu hanyalah untuk membeli gunung dan pelanggan misteri tersebut akan membayar upah mengukir kepada profesional pada harga berasingan.

Gunung tersebut harus mampu memuatkan wajah pelanggan misteri itu, pasangannya, empat anak mereka dan juga seekor anjing peliharaannya.

Jutawan itu juga pernah menghadiahkan pulau persendirian untuk keluarganya pada dua tahun lalu. - Metro UK

ukir wajah

Artikel Lain