suria

Rumah pasangan yang dera, cekik, gari 13 anak dilelong pada harga RM1.4 juta

Pasangan Turpin bersama 13 anak mereka.

SEBUAH rumah di California, Amerika Syarikat yang pernah dilaporkan menjadi lokasi di mana 13 anak dihidang pai berkulat, disiksa menggunakan tali pinggang dan dicekik kerana menonton video Justin Bieber, kini sedia untuk dijual.

Lapor The Press Enterprise, kediaman milik David dan Louise Turpin yang terletak kira-kira 112 kilometer (km) di timur Los Angeles itu diiklankan pada Sabtu.

Pasangan terbabit pernah menggari anak mereka pada perabot di rumah tersebut.

Rumah empat bilik itu dilelong pada pada nilai lebih daripada $350,000 (RM1.4 juta).

Pemandangan dari luar kediaman tersebut.

Lelongan tersebut dikendalikan bagi pihak pemberi pinjaman yang tidak dinamakan menerusi laman web Hudson and Marshall.

Menurut laman web itu, hartanah berkenaan berukuran 2,386 kaki persegi.

Kediaman itu dikatakan dalam keadaan baik, tetapi butiran lanjut mengenai apa sebenarnya yang berlaku di dalam rumah tersebut tidak didedahkan.

Seorang ejen hartanah, Scott Beloian berkata, ejen hartanah boleh disaman jika pembeli rumah mendapati terdapat kejadian yang tidak disangka pernah berlaku dalam kediaman yang dibeli mereka.

"Saya bersangka baik bahawa penjual akan mendedahkan maklumat tentang apa yang berlaku di dalam rumah itu kepada pembeli," kata beliau.

David dan Louise ditahan pada Januari lalu kerana mendera anak-anak mereka.

Setakat Sabtu, bidaan ke atas kediaman tersebut mencecah $198,000 (RM822,393).

Namun, sekiranya nilai bidaan tidak mencapai nilai minimum rizab lelongan yang akan diterima oleh penjual, ia tidak akan dijual.

Sementara itu, pasangan Turpin mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menyiksa dan mendera kanak-kanak serta mengangkat sumpah palsu yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Pasangan Turpin itu ditahan pada Januari ketika seorang anak perempuan mereka berjaya menyelamatkan diri dan menghubungi 911. - Daily Mail

lelong

Artikel Lain