suria

"Saya lihat batu yang menyebabkan kepala Schumacher cedera", Bozon buka mulut insiden di Alps

Schumacher bermain ski di Mandona di Campiglio, Itali 2014.

PASUKAN penyelamat yang bertugas menyelamatkan legenda F1 Michael Schumacher membuka mulut mengenai insiden yang menimpa pelumba itu pada tahun 2013.

Selepas lima tahun insiden, Stephane Bozon tampil berkongsi cerita mengenai kemalangan ngeri yang menimpa bekas juara dunia tujuh kali itu.

Bozon yang mengetuai operasi di Combe de Saulire, Alps Perancis memberitahu dia melihat sendiri bagaimana batu yang menyebabkan kepala Schumacher terhantuk.

Dia menggambarkan keadaan sukar untuk mengeluarkan bekas pelumba Ferrari itu daripada lokasi, namun bertuah kerana helikopter dapat mengambilnya.

"Saksi pertama hanya memberitahu kemalangan berlaku di sebelah cerun dan sangat sukar mengeluarkannya untuk membawanya ke kenderaan, perlu berhati-hati dan berwaspada.

"Saya masih ingat pasukan doktor dan helikopter berdepan dengan masalah keadaan di situ yang memang bercerun.

"Saya melihat Schumacher yang masih berpakaian ski dan nampak batu yang menyebabkan kepalanya terhantuk," ujarnya kepada sebuah majalah Jerman, Focus.

Bozon berkongsi pengalaman ngeri ketika insiden kemalangan melibatkan Schumacher.

Bozon yang juga merupakan komander kepada pasukan konstabel pergunungan menambah bahawa Schumacher bermain ski di luar parameter yang ditetapkan.

Ketika insiden berlaku, Schumacher bersama anaknya Mick di Meribel bermain ski 29 Disember 2013.

"Kejadian berlaku disebabkan salji yang nipis menutupi batu-batu di situ. Sekiranya keadaan tebal, dia mungkin hanya tergelincir daripada batu itu.

"Pihak pusat peranginan di situ tidak bersalah kerana jika anda pergi ke arah cerun, ia adalah risiko sendiri," jelasnya.

Schumacher kini berada di kediamannya di Lake Gevewa Switzerland masih menjalani rawatan intensif berikutan kemalangan tersebut.

Dilaporkan, Schumacher yang bakal menyambut hari kelahiran yang ke-50 pada 3 Januari ini mendapat khidmat pasukan perubatan yang terdiri daripada 15 orang, menjaganya secara bergilir-gilir dengan kos 115,000 pound seminggu. -Dailymail

Michael Schumacher

Artikel Lain