suria

Tolak undangan Ratu Elizabeth, ibu Meghan sendirian sambut Krismas

Ibu Meghan sedang memeriksa surat di kediamannya di Los Angeles. Foto Mega

IBU Meghan Markle dilihat memeriksa suratnya pada Hari Krismas, selepas dilaporkan menolak undangan untuk bercuti bersama keluarga diraja di England.

Doria Ragland memeriksa sejumlah surat di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selepas menolak undangan bukan rasmi daripada Ratu Elizabeth.

Ibu Meghan yang berusia 62 tahun itu menghabiskan masa bersendirian di California pada Hari Krismas, berbanding menaiki jet ke London bagi menyaksikan anaknya menyambut perayaan bersama keluarga diraja buat pertama kali.

Bagaimanapun, Doria tidak akan bersendirian begitu lama kerana dipercayai Meghan bersama suami, Putera Harry dijangka berlepas ke AS untuk meluangkan masa bersamanya.

Bercakap kepada Vanity Fair, sumber diraja berkata, jemputan ke kediaman diraja di Sandringham di Nortfolk, England dibuat berikutan Ratu Elizabeth mengagumi Doria sewaktu majlis perkahwinan pasangan Duke and Duchess of Sussex di Istana Windsor, Mei lalu.

Satu jemputan buat Doria akan memecah tradisi diraja itu kerana keluarga Kate Middleton sendiri tidak pernah dijemput untuk tinggal di Norfolk.

Keluarga Kate yang merupakan Duchess of Cambridge menyambut perayaan bersama keluarga diraja di gereja pada pagi Krismas, tetapi mereka tinggal dekat Dewan Anmer, dan bukan di Sandringham. - Mail Online

Artikel Lain