suria

Sami tergamak hidang nasi beracun kepada penduduk menyebabkan 15 maut, 100 masuk hospital

Mahendra didakwa merancang melakukan jenayah itu. - Facebook

SEORANG sami beragama Hindu, perempuan simpanannya dan suami wanita itu dituduh membunuh setelah 15 orang maut dan 100 lagi dimasukkan ke hospital akibat makan nasi beracun di sebuah kuil di barat daya India.

Plot pembunuhan itu didakwa dirancang oleh sami terbabit kerana ingin memfitnah seorang pegawai di kuil Kichguth Maramma Hindu, Karnataka sekali gus mengambil alih perbendaharaan sebanyak 3.4 juta rupee (RM203,464).

Polis mengumumkan penangkapan sami yang hanya dikenali sebagai Mahadeva, 52, wanita simpanannya 'Ambika', 35, suaminya 'Madesha', 46, dan seorang sami yang sudah bersara, Doddaiah, 35.

Mereka didakwa meracuni Prasadam, iaitu makanan ritual yang disediakan untuk para penganut pada upacara meraikan pembinaan kuil baharu pada 14 Disember lalu.

Menurut Times of India, polis menemui bukti bahawa seorang saudara Ambika iaitu seorang petani memberikan kepadanya beberapa botol racun serangga.

Penduduk bersedih di atas kematian saudara mereka akibat keracunan tersebut. - AP

Petani tersebut memberitahu polis bahawa dia menghantar botol itu kepada Ambika lapan hari sebelum keracunan itu berlaku.

Ambika telah memberitahunya bahawa dia memerlukan racun tersebut untuk digunakan di tamannya.

Petani tersebut kemudiannya menghubungi Ambika ketika dia mendengar berita keracunan itu.

Ambika memberitahunya bahawa fia terpaksa melakukan perbuatan tersebut atas permintaan kekasihnya, menurut Times.

Kuil tersebut dikatakan menjadi rumah ibadat kepada ramai penganut Hindu dan menjana sekitar 1.2 juta rupee (RM71,811) setahun.

Polis berkata, Mahadeva mahu menguasai kuil itu daripada pemegang amanah semasa, Chinappi dengan melancarkan skandal jahat selepas ideanya membina 'menara masuk' ditolak. - Daily Mail

keracunan

Artikel Lain