suria

Menantu gagal halang ibu mertua 102 tahun lakukan terjunan udara

O'Shea dan jurulatih terjun udara, Jed Smith di dalam kapal terbang sebelum melakukan terjunan. - Reuters

SEORANG wanita warga emas dari Australia menjadi penerjun udara tertua di dunia apabila dia mengambil risiko melakukan terjunan pada usia 102 tahun.

Irene O'Shea memecahkan rekod tersebut dua tahun selepas dia melakukan terjunan sempena ulang tahunnya yang ke-100.

SA Skydiving di Adelaide mengucapkan tahniah kepada warga emas itu di atas pencapaiannya selepas dia terjun bersama seorang pengajar, Jed Smith.

"Seorang wanita yang hebat mencapai sesuatu yang luar biasa," menurut kenyataan syarikat tersebut, lapor Stuff NZ.


O'Shea bersedia untuk melakukan terjunan keduanya pada usia 102 tahun. - Reuters

Menantu lelaki O'Shea, Mike FitzHenry berkata, tiada siapa yang dapat menghalang ibu mertuanya daripada melakukan apa-apa.

"Tidak, bukan dengan Irene O'Shea. Jangan cuba untuk bercakap dengannya tentang apa sahaja.

"Dia yang putuskan apa yang dia mahu lakukan dan anda harus akur," katanya kepada radio FIVEaa.

Terjunan O'Shea dilakukan bagi mengumpul dana untuk kajian penyakit motor neuron. - Stuff NZ

Irene O'Shea

Artikel Lain