suria

Thailand haramkan perkahwinan libatkan budak bawah 17 tahun

BUAT pertama kali dalam sejarah, Majlis Agama Islam Thailand mengusulkan pengharaman nikah bawah umur di negara itu.

Ia susulan kemarahan orang ramai berhubung perkahwinan kanak-kanak perempuan 11 tahun dengan seorang lelaki yang usianya empat kali lebih tua berbanding usianya.

Peraturan terbaharu Pusat Komuniti Islam Thailand (Cicot) itu mengharamkan perkahwinan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah.

Peraturan itu juga akan diumumkan di semua masjid.

Menurut Pengarah Koordinasi Cicot (Pejabat Islam Sheikhul), Wistu Binlateh, Cicot sudah meluluskan usul itu pada November lalu.

Peraturan itu melarang mana-mana masjid memberi kebenaran untuk perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah 17 tahun melainkan ia mendapat kebenaran Mahkamah Syariah serta kebenaran ibu-bapa dengan dokumen yang diluluskan oleh jawatankuasa hal ehwal Islam wilayah atau mana-mana balai polis tempatan.

Malah, satu jawatankuasa turut diwujudkan bagi membuat penilaian sebarang perkahwinan melibatkan kanak-kanak, dan memberi kebenaran jika ia bermanfaat buat pasangan.

Salah seorang daripada tiga ahli jawatankuasa itu mestilah seorang wanita dengan pengetahuan undang-undang Islam dan perlu menemu bual pengantin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Pengenalan undang-undang terbaharu itu dilihat sebagai satu detik bersejarah sekaligus menghentikan amalan sebilangan ibu-bapa yang mengahwinkan anak-anak mereka setelah akil baligh.

Di kawasan seperti Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun, undang-undang Islam diguna pakai bagi hal ehwal keluarga dan pewarisan.

Undang-undang itu juga tidak menetapkan usia minima untuk perkahwinan, berbeza dengan undang-undang sivil.

Kelemahan undang-undang itu sekaligus memberi peluang kepada lelaki termaksuklah dari Malaysia untuk menghawini gadis muda dari Thailand. - The Star.

Perkahwinan Bawah Umur, Thailand

Artikel Lain