Baru 12 tahun, budak ini tubuh sekolah sendiri, ajar kanak-kanak, orang dewasa - Dunia | mStar

Baru 12 tahun, budak ini tubuh sekolah sendiri, ajar kanak-kanak, orang dewasa

USIANYA baru 12 tahun dan Leonardo Nicanor Quinteros masih belajar di sekolah menengah, tetapi dia sudah mengendalikan sekolah persendirian secara percuma.

Menerusi sekolah tersebut, dia dapat membantu kanak-kanak lain, malah orang dewasa, dalam pelajaran mereka.

Leonardo atau lebih dikenali sebagai Nico suka belajar, tetapi dia juga mahu berkongsi minat dalam pendidikan kepada rakan-rakannya.

Dia mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu, selepas melihat rakan-rakannya menghadapi masalah untuk mengikuti pembelajaran di sekolah, dan kanak-kanak lain pula menghabiskan banyak masa bermain di jalanan sehingga mengabaikan pelajaran.

Tahun lalu, dia memberitahu neneknya, Ramona, mengenai hasratnya untuk mempunyai sekolah sendiri.

Dia turut meminta bantuan neneknya untuk membina sekolah tersebut di sebelah rumah neneknya, di bandar Las Piedritas di Argentina.

Permintaan tersebut dipenuhi dan hari ini sekolah persendirian yang diadakan secara percuma menampung hampir 40 pelajar muda.

Di sekolah tersebut, Nico mengambil peranan sebagai guru dan pengetua.

Ia mempunyai bangku untuk semua pelajar, lokar, perpustakaan kecil, papan hitam, malah loceng yang boleh dibunyikan bagi menandakan waktu rehat.

Mereka juga dapat memperbaiki sistem bunyi yang memainkan lagu kebangsaan Argentina pada permulaan hari persekolahan, sebagaimana di sekolah-sekolah lain.

Namun apa yang lebih membanggakan mengenai sekolah Leonardo Nicanor Quinteros adalah kualiti pendidikan dan dedikasinya untuk membantu orang lain.

Rumahnya sejauh kira-kira 20 minit perjalanan dari rumah neneknya, dia akan menunggang basikal selepas pulang ke rumah dari sekolah, sebelum ke sekolahnya sendiri, setiap hari.

Nico mengajar pelbagai subjek, seperti matematik dan tatabahasa.

Ada ketika pelajarnya tidak dapat hadir pada waktu biasa, dan dia mengendalikan kelas pada waktu malam bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Walaupun kebanyakan 36 pelajar Leornado lebih muda daripadanya, tetapi beberapa orang dewasa turut menghadiri kelasnya.

"Ia membantu saya untuk lulus dalam gred, saya kini dalam gred ketiga," kata salah seorang pelajar kepada Clarin, yang menyifatkan sekolah yang ditubuhkan Nico begitu berbaloi. - odditycentral

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ustazah sekolah dikhuatiri hilang