suria

Dibelasah, dibakar hidup-hidup gara-gara khabar angin

MEXICO CITY: Sekumpulan perusuh memasuki lokap balai polis sebelum mengheret keluar dua lelaki yang kemudian dipukul dan dibakar hidup-hidup kerana khabar angin cuba menculik kanak-kanak.

Dalam kejadian di kampung San Vicente Boqueron di Puebla, Rabu lalu, kedua-dua Lelaki yang dikenali sebagai Alberto Flores Morales, 53, dan Ricardo Flores Rodriguez, 21, mati dibakar.

Morales Dan Rodriguez pada mulanya ditangkap polis kerana minum arak di tempat awam dan mengganggu remaja perempuan yang lalu-lalang.

Bagaimanapun, khabar angin yang tersebar di media sosial mendakwa dua lelaki itu ditangkap kerana cuba menculik kanak-kanak di kampung itu.

Berita itu menyebabkan kira-kira 150 penduduk yang berang menyerbu balai polis di mana mangsa ditahan lalu memecahkan lokap sebelum menarik mereka keluar.

Mangsa kemudian ditumbuk, ditendang, diikat sebelum muka mereka dipijak-pijak oleh kumpulan perusuh.

Badan mereka pula kemudian dicurah dengan petrol lalu dibakar hidup-hidup.

Sebuah kenderaan yang dipercayai milik mangsa turut dibakar kumpulan perusuh itu.

Sementara itu, pejabat pendakwa raya negeri mengatakan, khabar angin tentang penculikan itu adalah palsu dan pihaknya kini menyiasat pembunuhan kejam berkenaan.

Kementerian Keselamatan Awam turut menyiasat mengapa anggota polis yang bertugas di balai itu tidak meminta bantuan atau berunding dengan penduduk yang berkumpul. - Agensi

bunuh

Artikel Lain