suria

Ibu selamatkan anak diterkam buaya, diseret ke sungai

HASRAT seorang budak lelaki untuk mengambil air di sungai tidak kesampaian apabila dia dibaham dan diseret ke dalam sungai oleh seekor buaya.

Yadi Putra, 11, dari Tanjab Timur, Jambi, Indonesia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh ibunya.

Dalam kejadian pada Sabtu, sekitar pukul 10.30 malam, Yadi pergi ke sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil air.

Ketika dia sedang membongkok, dia tidak sedar bahawa seekor buaya sedang memerhatikannya. Sepantas kilat, buaya itu menggigit tangan kirinya sebelum mengheretnya ke dalam sungai.

"Saya dengar anak saya menjerit, saya terus menuju ke sungai dan berenang untuk selamatkan anak saya yang digigit buaya.

"Buaya itu kemudian melepaskan anak saya dan terus hilang," kata ibunya, Rasmi, 37, ketika ditemui wartawan di Rumah Sakit Nurdin Hamzah.

Rasmi berkata, anaknya itu mahu mengambil air untuk menyiram bunga di sekitar rumah.

Pada masa itu paras air sungai agak tinggi tetapi tidak menyangka anaknya itu nyaris menjadi makanan buaya.

"Sungai itu memang tak jauh dari rumah, paras air sungai juga dalam keadaan naik. Jika saya lambat tiba menyelamatkan anak saya yang sudah terseret sejauh 15 meter, mungkin anak saya sudah menjadi santapan buaya itu," katanya.

Yadi kini sedang dirawat di hospital dan dilaporkan mengalami luka-luka di bahagian badan akibat diseret buaya.

Tangan kirinya juga harus diberikan rawatan rapi kerana dirobek buaya tersebut. -news.detik

buaya, Jambi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain