suria

Sekumpulan Pengembara Kritikal Akibat Terlebih Dos

AKIBAT tersalah mengambil ubat untuk menangani masalah mabuk perjalanan, sembilan pengembara dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecelaruan minda dan gelisah.

Kumpulan itu termasuk lima warga Perancis telah tersalah mengambil dadah kokain, menyebabkan mereka sakit, lapor pihak berkuasa Australia.

Tiga daripada mereka, dua warga Perancis dan seorang Jerman masih mendapatkan rawatan di hospital selepas pasukan perubatan bergegas ke sebuah rumah di Perth pada Selasa malam.

Tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 21 dan 25 tahun itu telah mengambil Hyoscine dalam dos berlebihan hingga menyebabkan mereka dalam keadaan tidak sedar, kata Polis Australia barat.

Doktor Unit Kecemasan Hospital Diraja Perth, Dr David McCutcheon berkata, tiga yang masih dirawat itu masih dalam keadaan kritikal.

"Beberapa pengembara terlibat mungkin menempah maut jika terlewat mendapatkan rawatan.

"Ketika dibawa ke hospital, mereka dalam keadaan halusinasi, jantung berdengup kencang hingga menyebabkan ada yang diberi suntikan penenang kerana dalam keadaan tidak sihat," katanya kepada akhbar West Australian.

Hyoscine atau juga dikenali sebagai Scopolamine adalah sedatif pada kadar rendah dan digunakan untuk merawat masalah mabuk perjalanan.

Sementara itu, menurut seorang mangsa, warga Itali yang dikenali sebagai Simone, ubat itu dihantar ke rumah yang mereka diami tetapi ia dialamatkan kepada individu yang tidak lagi menetap di situ.

Apabila penghuni kediaman itu membuka bungkusan berkenaan, didapati ada serbuk putih yang dibungkus kertas.

Kumpulan itu telah membahagikan dadah itu dan mengambilnya sebelum mengalami pelbagai masalah termasuk lumpuh sementara.


Hyoscine, Perth

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain