suria

Selepas Lakonan, Rajinikanth Pilih Politik

NEW DELHI: Ikon layar perak India pujaan ramai, Rajinikanth mengumumkan akan menceburi dunia politik dengan menubuhkan parti politik sendiri.

Pengumuman aktor itu mengakhiri penantian hampir dua dekad oleh peminatnya, terutama di Tamil Nadu di mana dia digelar ‘The Superstar’.

“Saya akan menubuhkan parti politik sendiri dan bertanding untuk merebut semua 234 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya di dalam sebuah dewan dipenuhi penyokongnya di ibu negeri Tamil Nadu, Chennai.

Negeri itu yang mempunyai seramai 72 juta penduduk, berdepan ketidakstabilan politik selepas kematian ketua menterinya, Jayalalithaa Jayaram, juga seorang bekas bintang filem.

Rajinikanth, 67, pernah bekerja sebagai seorang konduktor bas di bandar Bangalore, selatan India sebelum berpindah ke Chennai pada tahun 1973 untuk mengejar impiannya menjadi seorang pelakon.

Dia berjaya menjadi bintang filem paling terkenal dalam sejarah dunia perfileman Tamil.

Rajinikanth menerima pujian meluas kerana hampir seorang diri mengalahkan kerajaan Tamil Nadu pada 1996 dengan meminta penyokongnya supaya tidak mengundi parti pemerintah beberapa hari sebelum pilihan raya bermula.

“Saya bukan menceburi dunia politik untuk mendapatkan jawatan, wang ataupun kemasyhuran kerana saya sudah memiliki semua ini,” katanya.

Ramai peminatnya membakar mercun, menari dan melaungkan slogan soko­ngan untuk Rajinikanth di luar dewan itu selepas pengumuman tersebut.

Antara filem yang menaik­kan nama pelakon itu termasuk Chandramukhi, Sivaji : The Boss, Kabali dan Padayappa.
Rajinikanth, Tamil Nadu

Artikel Sebelum

Kebab 'Terbang' Ke Angkasa

Artikel Berikut

Artikel Lain