suria

Pacquiao Duta Global Seoul Yang Baharu

Emmanuel "Manny" Pacquiao.

SEOUL: Legenda tinju Filipina, Emmanuel "Manny" Pacquiao, bakal dilantik sebagai Duta Global Seoul berikutan peranan utama beliau dalam mempertingkat hubungan serta pertukaran antara Korea Selatan dan Filipina, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Kerajaan Metropolitan Seoul pada Selasa.

Pacquiao, kini seorang senator di Filipina, bakal berkunjung ke Dewan Bandaraya Seoul untuk bertemu Datuk Bandar, Park Won-soon, yang akan menyerahkan watikah pelantikan rasmi kepada beliau dalam satu majlis yang dijadual berlangsung pada waktu tengah hari.

Seoul menjadikan profesional asing duta global sebagai sebahagian usaha untuk mempelbagai dan memperkukuh kerjasama dua hala dengan bandar-bandar utama di seluruh dunia.

Pada Jun lepas, bandar itu melantik maestro merangkap pengarah opera Rusia, Valery Gergiev, sebagai duta global.

"Senator Pacquiao merupakan legenda tinju Asia. Berlatarbelakangkan zaman kanak-kanak yang susah, beliau terkenal sebagai raja dermawan berikutan sumbangan besar yang diberikan setiap tahun bagi membantu meringankan beban hidup golongan miskin dalam komunitinya."

Pacquiao, 39, telah memenangi 11 kejohanan utama sepanjang kerjaya beliau yang bermula pada 1995.

Beliau merupakan satu-satunya juara dunia dalam sejarah sukan tinju yang memenangi semua lapan kategori, termasuk flyweight, featherweight, lightweight dan welterweight. - BERNAMA

Emmanuel Manny Pacquiao, tinju

Artikel Sebelum

Bunuh Bos Tak Lulus Cuti

Artikel Lain