suria

Skandal Paradise Papers

AWAL minggu lalu, masyarakat dunia sekali lagi digemparkan dengan skandal pengelakan cukai baharu melibatkan golongan elit dan syarikat multinasional menerusi dokumen Paradise Papers selepas pendedahan Panama Papers yang membongkar isu sama pada 2016.

Kira-kira 13.4 juta dokumen bersaiz 1.4 TB itu sebahagiannya diperoleh daripada firma undang-undang, Appleby berpusat di Bermuda itu membantu perbadanan dan individu kaya menubuhkan syarikat dan akaun di luar pesisir.

Dalam kebanyakan kes, langkah tersebut membolehkan klien mereka mengelakkan daripada membayar cukai di negara masing-masing.

Appleby adalah pemain utama dalam industri luar pesisir global yang membantu memindahkan wang secara sah di luar jangkauan pemungut cukai menerusi rangkaian kawasan lindungan cukai dan pusat kewangan rahsia.

Jumlah yang terlibat dalam skandal itu sememangnya mengejutkan.

Dianggarkan lapan peratus kekayaan kewangan isi rumah diletakkan di luar pesisir mewakili kerugian dalam hasil cukai tahunan global berjumlah kira-kira AS$190 bilion (RM796.5 juta).

Menurut ahli ekonomi di Universiti of California, Berkeley, Gabriel Zucman, lebih AS$7.6 trilion (RM31.8 trilion) dipercayai disembunyikan di kawasan lindungan cukai di seluruh dunia.

Di mana-mana tempat di seluruh dunia, golongan kaya dan pertengahan dilaporkan mengelak untuk membayar cukai.

Sasaran Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) bukan pengelak cukai kerana dalam sejarah pencukaian, tidak pernah ada masalah besar terhadap kapitalisme.

Sebaliknya, dokumen diperoleh akhbar Jerman, Suddeutsche Zeitung tersebut adalah pendedahan 'kekayaan di luar pesisir' oleh firma undang-undang antarabangsa dan sumber lain.

Sembilan muka surat yang mendalami kandungan Paradise Papers menjelaskan industri pelaburan luar pesisir telah berkembang dengan pesat sejak 1970-an yang digambarkan sebagai 'negara untuk orang kaya'.

Dokumen yang mendedahkan rahsia pelaburan golongan elit itu dipercayai akan meningkatkan tekanan kepada kerajaan untuk menjejaki skim pengelakan cukai yang sah.

Kesan Paradise Papers mungkin tidak memberi impak besar seperti Panama Papers sebelum ini yang menyaksikan pemecatan pemimpin Pakistan dan peletakan jawatan pemimpin Iceland susulan pendedahan berkaitan mereka.

Ia turut membawa kepada penyiasatan jenayah berhubung kes pengelakan cukai dan pengubahan wang haram.

Susulan pembongkaran terbaharu itu, beberapa agensi cukai kebangsaan termasuk India dan Sepanyol telah mula melancarkan siasatan malah para menteri kewangan Kesatuan Eropah turut menggesa kawasan lindungan cukai disenaraihitamkan yang mana ia dijangka diputuskan pada bulan depan.

Pendedahan mengenai perancangan cukai kreatif multinasional juga dilihat akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk memperbaiki peraturan dan perjanjian yang mengawal cukai perniagaan rentas sempadan.

Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Angus Deaton pula berpendapat tax haven atau kawasan lindungan cukai tidak memberikan sebarang manfaat kerana ia hanya membenarkan golongan elit untuk mengelak peraturan dan kewajipan kewangan yang dikenakan ke atas orang lain.- Sinar Harian




Paradise Papers

Artikel Sebelum

Dumbel Tersekat Pada Kemaluan

Artikel Berikut

Trump Bengang Dipanggil "Tua"

Artikel Lain