Maut Kemalangan Dua Minggu Selepas Tragedi Las Vegas - Dunia | mStar

Maut Kemalangan Dua Minggu Selepas Tragedi Las Vegas

Dennis dan Lorraine meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan kereta selepas terselamat daripada tragedi tembakan di Las Vegas. - Facebook

SEPASANG pasangan suami isteri yang terselamat daripada insiden tembakan di Las Vegas menemui ajal dua minggu kemudian akibat kemalangan jalan raya.

Dennis Carver melindungi isterinya Lorraine ketika penembak, Stephen Paddock membuat tembakan rambang ke arah orang awam di festival muzik Route 91 Harvest.

Selepas insiden berdarah itu, Lorraine memuat naik status yang  menyentuh hati kerana berterima kasih di atas keberanian suaminya.

Menurut laporan Mirror, kedua-dua mereka berlari beriringan ketika pembunuh tersebut melepaskan tembakan sehingga menyebabkan 59 maut dan 500 lagi cedera dalam kejadian pada 1 Oktober lalu.

Status Facebook yang dimuat naik oleh Lorraine selepas tragedi tembakan di Las Vegas.

Anak perempuan pasangan itu berkata, ibu bapanya hidup dengan penuh kesyukuran selepas terselamat daripada tragedi menyayat hati itu.

Brooke Carver, 20, berkata kepada Las Vegas Review-Journal: "Cinta mereka tidak mementingkan diri. Selepas tragedi tembakan itu, mereka menerima banyak ucapan daripada orang yang mereka kasihi.

"Mereka amat gembira. Dua minggu terakhir ini, mereka menggunakan setiap hari dengan sebaiknya," kata Brooke.

Pasangan itu meninggal dunia pada 16 Oktober selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan terbakar berhampiran kawasan kediaman mereka di Riverside County, California.

Tragedi Las Vegas

Artikel Sebelum

Punca Pendapatan Hilang Sebab Awak!

Artikel Berikut

Lelaki Dedah Punca Rogol Ibu

Artikel Lain