suria

Simpsons Ramal 'Terminator' Ganti Trump

NEW YORK: 'Usia' Donald Trump memimpin pentadbiran Amerika Syarikat (AS) sebagai Presiden baharu negara itu masih belum mencecah 100 hari tetapi sudah muncul ramalan tentang calon yang bakal menggantikannya.

Bintang filem Terminator yang pernah menjadi Gabenor California, Arnold Schwarzenegger merupakan nama yang diramal bakal menggantikan Trump.

Ramalan itu dinyatakan menerusi rancangan kartun popular Simpsons, yang sebelum ini juga meramalkan kemenangan Trump pada episod Bart to the Future yang disiarkankan pada tahun 2000, 16 tahun sebelum ramalan tersebut menjadi kenyataan.

Kini Schwarzenegger pula menjadi sebutan untuk menggantikan Trump selepas satu lagi episod Simpsons menunjukkan aktor itu menjadi Presiden AS menggantikan Trump.

Trump kini berdepan tekanan kuat daripada penduduk AS sendiri dan masyarakat dunia susulan beberapa dasar kontroversi yang dilaksanakannya termasuk menguatkuasakan larangan kemasukan umat Islam ke negara Barat itu.

Tidak seperti Trump, Schwarzenegger memiliki pengalaman politik yang lebih luas terutamanya ketika memenangi pilihan raya gabenor di California pada 2003.

Watak Schwarzenegger muncul dalam filem The Simpsons Movie kira-kira 10 tahun lalu.

Schwarzenegger sebelum ini pernah mendedahkan hasrat untuk bertanding sebagai Presiden tetapi beliau tidak boleh berbuat demikian kerana dilahirkan di Austria.

"Jika saya lahir di Amerika, sudah pasti saya akan bertanding kerana ini merupakan masa yang sesuai," kata aktor berusia 69 tahun itu selepas kemenangan Trump.

Schwarzenegger juga merupakan anggota Republikan tetapi beliau mengakui tidak menyokong calon partinya (Trump) buat kali pertama sejak 1983.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain