suria

Indonesia Tahan Suspek Militan Rancang Serangan Disember Ini

Rikwanto pada sidang media berhubung penahanan Rio yang dipercayai merancang serangan bulan depan.

JAKARTA: Suspek militan yang disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas Baharun Naim ditahan bersama sejumlah besar bahan membuat bom, dipercayai merancang menyerang bangunan kerajaan dan kedutaan Myanmar di sini, bulan depan.

Hasil risikan polis Indonesia mendapati, anggota Daesh berkenaan, Rio Priatna Wibawa ditahan di rumahnya di Majalengka, Jawa Barat, awal minggu ini.

Jurucakap polis, Rikwanto memberitahu media, pemuda berusia 23 tahun ini adalah bekas penuntut jurusan sains pertanian di universiti tempatan namun gagal menamatkan pengajian dan kini masih menganggur.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui bagaimana dia merancang serangan dan cara memperoleh wang membeli bahan letupan itu,” kata Boy.

Katanya, suspek militan itu belajar sendiri untuk membuat bom dan  merancang menghantar bahan letupan itu ke beberapa kawasan di seluruh Indonesia.

Media tempatan melaporkan, jumlah bahan letupan yang dirampas itu boleh menyebabkan letupan dua kali ganda lebih besar daripada bom dalam serangan di sebuah kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.

Turut dirampas ialah bendera hitam, peluru, beberapa senjata, termasuk senapang dan parang.

Indonesia menyaksikan beberapa serangan yang ada hubungan dengan Daesh tahun ini, yang terbesar pada Januari lalu di Jakarta yang menyebabkan lapan orang, termasuk empat penyerang terbunuh. - The Guardian

Daesh, Majalengka, Myanmar

Artikel Lain