suria

Raja Salman: Jangan Politikkan Ibadah Haji

RIYADH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman menolak sebarang usaha mana-mana pihak untuk menjadikan ibadah haji sebagai isu politik, sekali gus menambah lagi ketegangan antara Riyadh dan Teheran.

Buat kali pertama dalam tempoh hampir 30 tahun, kira-kira 64,000 jemaah haji dari Iran tidak menunaikan ibadah itu pada tahun ini selepas kedua-dua negara berjiran itu gagal mencapai persetujuan dalam isu keselamatan dan logistik.

Antara kebimbangan tercetus susulan perselisihan diplomatik itu, Salman berkata, Teheran menuntut hak untuk menganjurkan tunjuk perasaan sebagai membantah tindakan Riyadh menyekat jemaah haji dari Iran.

"Kerajaan Saudi menolak sebarang cubaan mengaitkan ibadah haji dengan sebarang tujuan politik.

"Tugas melayan tetamu Allah merupakan satu penghormatan buat kerajaan Saudi," kata beliau seperti dilaporkan portal Saudi Gazette.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Iran masih boleh menunaikan haji jika mereka datang dari negara lain dan bukan secara terus dari Iran.

Bagaimanapun Salman tidak mengulas lanjut perkara itu.

Kemelut Riyadh-Teheran tercetus sejak musim haji tahun lalu susulan tragedi rempuhan yang mengorbankan kira-kira 2,300 nyawa.

Rakyat Iran merupakan mangsa paling ramai dalam insiden itu dengan jumlah 464 orang, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati Teheran terhadap tahap keselamatan yang diambil oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Ekoran kejadian itu, pertelagahan antara kedua-dua negara semakin buruk dan gagal diselesaikan sebelum musim haji tahun ini berlangsung.

Haji, Iran, Arab Saudi, Salman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain