suria

Penumpang Cetus Kecoh Cuba Bawa Bom Mainan Dalam Pesawat

Bom mainan yang dibeli oleh seorang pelancong warga Britain cuba dibawa masuk ke dalam pesawat bagi penerbangan dari Bali ke Doha.

SEBUAH pesawat terpaksa kembali ke terminal lapangan terbang di Bali hanya sejurus beberapa minit sebelum berlepas apabila seorang pelancong warga Britain cuba membawa bom mainan ke dalam pesawat.

Portal Mail Online melaporkan lelaki berkenaan memberitahu para pegawai di Lapangan Antarabangsa Ngurah Rai di Bali, Indonesia bahawa dia membeli barang berkenaan yang kelihatan seperti pemasa yang dilekatkan dengan batang dinamit di sebuah kedai permainan.

Dia membeli permainan itu untuk tujuan parti sambutan Tahun Baru.

Bagaimanapun, dia dimaklumkan bahawa permainan itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat Qatar Airlines bagi penerbangan ke Doha.

Dia kemudiannya meninggalkan barangan tersebut sebelum mendaftar masuk seperti biasa.

Bagaimanapun, lelaki itu diarah disoal siasat selepas disedari oleh pengurus besar lapangan terbang ketika pesawat yang dinaikinya sudah dibawa ke landasan untuk persediaan berlepas.

Memetik laporan The Telegraph, penumpang berkenaan ialah Davide Fogli, 46, seorang pereka grafik yang dilahirkan di Turin tetapi merupakan pemegang pasport Britain.

Lelaki tersebut ditahan dan disoal siasat, manakala pegawai penyiasat membuat pemeriksaan di kedai permainan seperti yang didakwa penumpang berkenaan.

Fogli dan temannya akhirnya dilepaskan selepas 24 jam.

Polis memberitahu media: "Kami telah membebaskan mereka.

"Kami mendapati tiada petunjuk yang menjadi sebab-sebab mencurigakan. Dia hanya membeli permainan. Bagaimanapun pihak berkuasa lapangan terbang telah membuat laporan maka kami perlu menjalankan siasatan," katanya.

Pihak berkuasa lapangan terbang mempertingkatkan keselamatan susulan serangan pengganas yang menyasarkan pelancong dari Rusia dan negara-negara Barat.

Artikel Sebelum

IS Latih Juruterbang Berani Mati

Artikel Lain