suria

Serangan Paris: Wanita Hamil Bergayut Pada Tingkap

Wanita hamil (atas kiri) ditemui bergayut pada belebas tingkap di bangunan Bataclan ketika menyelamatkan diri di mana konsert rock itu menjadi sasaran pengganas.

SEORANG wanita mengandung cuba menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kejadian berdarah di Paris dengan bergantung pada belebas tingkap bangunan dewan konsert Bataclan.

Wanita yang identitinya tidak diketahui itu adalah antara ratusan penonton konsert yang bertempiaran lari selepas dikejutkan dengan serangan pengganas pada Jumaat malam itu.

Saksi menyedari adanya seseorang bergayut pada tingkat bangunan itu selepas mendengar jeritannya meminta tolong.

"Tolong, tolong saya mengandung, saya mengandung. Apa perlu saya buat?" jeritnya berulang kali.

Susulan itu, orang ramai berusaha menyelamatkannya di lokasi di mana sekurang-kurangnya 82 maut akibat serangan militan itu.

Sementara itu, seorang penonton konsert warga Amerika Syarikat, Helen Wilson yang terselamat berkata, pengganas memasuki bilik yang menempatkan golongan kurang upaya yang menggunakan kerusi roda.

"Tembakan dilepaskan secara rambang dan ketika penonton cuba melarikan diri, tembakan terus dilepaskan," katanya.

Seorang lagi pengunjung konsert itu, Marielle Timm berkata, puluhan mayat bergelempangan di dewan yang sepatutnya malam persembahan rock itu.

"Tetapi tiba-tiba ada seorang lelaki masuk melalui pintu hadapan dan mula melepaskan tembakan. Mulanya kami anggap ia sebahagian daripada persembahan tetapi menyedari ia serangan apabila melihat seorang demi seorang terkorban.

"Saya pura-pura tidak bernyawa kerana bimbang ditembak mati. Mereka membunuh tanpa belas kasihan," katanya.

Bataclan, Paris, Helen Wilson

Artikel Berikut

AS Perketat Kawalan Keselamatan

Artikel Lain