suria

Presiden Myanmar Ucap Tahniah Kepada Suu Kyi

Aung San Suu Kyi.

PRESIDEN Myanmar Thein Sein mengucapkan tahniah kepada pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi di atas kemenangannya pada pilihan raya umum negara itu.

Dengan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kerusi sudah diumumkan, Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) meraih hampir 90 peratus undi.

Suu Kyi turut menghantar surat kepada kepimpinan negara itu meminta satu rundingan mengenai perpaduan nasional.

Namun, jurucakap U Ye Htut berkata mesyuarat seperti itu hanya akan diadakan sebaik sahaja keputusan akhir diumumkan.

Beliau menegaskan tiada usaha untuk melambatkan pengumuman keputusan pilihan raya yang berlangsung pada Ahad itu.

Myanmar diperintah junta selama 50 tahun sehingga 2011, apabila ia melakukan peralihan kepada kerajaan awam.

NLD pernah memenangi pilihan raya umum pada 1990, namun keputusan itu dinafikan junta tentera.

Presiden Thein Sein pada Jumaat menyatakan kesediaan untuk menerima penubuhan kerajaan baharu, berdasarkan keputusan pilihan raya kali ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain