suria

Gempa Bumi 6.7 Magnitud Gegarkan Pulau Guam

Pulau Guam.

WELLINGTON: Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud menggegarkan pulau Guam di lautan pasifik pada Rabu, kata Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan berikutan kedudukan gegaran itu terlalu dalam.

Agensi itu pada awalnya berkata, gempa itu berukuran 7.1 magnitud, tetapi kemudiannya petunjuk itu diturunkan apabila gegaran berlaku pada kedalaman 136 kilometer di lautan, dan 49 kilometer barat laut bandar di wilayah Amerika Syarikat (AS), Hagatna.

"Tsunami tidak berlaku kerana kedudukan gempa bumi ini terlalu dalam di laut," kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Guam, yang merupakan pulau terbesar di Micronesia dengan populasi seramai 180,000 orang sering dilanda gempa bumi. 

"Gempa bumi itu menggegarkan Guam tetapi tidak cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan teruk," kata pakar seismologi, Daniel Jaksa kepada AFP.

Jaksa berkata, gempa bumi di Guam berlaku tiga minit selepas gegaran gempa berukuran 6.0 magnitud yang berlaku di Vanuatu di Pasifik walaupun kedua-dua gegaran tidak mempunyai kaitan. - AFP


gempa bumi, pulau Guam

Artikel Lain