suria

AS Sedia Beri Bantuan Lanjutan Untuk Bantu Cari Pesawat Hilang

Chuck Hagel.
HONOLULU: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Chuck Hagel berkata Washington bersedia untuk memenuhi permintaan bantuan tambahan daripada Malaysia dalam usaha mencari pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada permintaan sedemikian dikemukakan Menteri Pertahan Malaysia yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mereka bertemu di sini sempena dengan Forum Pertahanan AS-Asean yang berakhir di sini, pada Khamis.

"Saya memberitahu beliau (Hishammuddin) dengan jelas jika beliau mempunyai permintaan tambahan, bercakap dengan saya secara langsung.

"Saya juga memberitahu beliau, jika ia mungkin, kami benar-benar akan menghormati sebarang permintaan tambahan (untuk bantuan)," Hagel bercakap dalam sidang media sempena berakhirnya dialog AS-Asean. 

Pesawat Malaysia ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac di Laut China Selatan setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Operasi melibatkan pelbagai negara bagi mencari Boeing 777-200ER itu membabitkan negara jiran Malaysia dan negara-negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, China dan Australia yang setakat ini hasilnya masih kosong.

Pesawat itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi dengan misi carian kini sedang dijalankan daripada Perth, Australia.

Hagel berkata Hishammuddin, yang mewakili Malaysia pada forum di Hawaii ikhlas tentang pujian terhadap rakan-rakan pertahanan Asean serta Amerika Syarikat dengan bantuan yang diberikan dalam mencari pesawat berkenaan.

Setiausaha Pertahanan AS itu juga menegaskan, beberapa rakyat negara lain turut berada dalam pesawat penerbangan Malaysia itu.

Beliau berkata China dan banyak negara di Asia Pasifik yang diminta oleh Malaysia untuk memberi bantuan, telah memenuhinya.

"Ini adalah mengenai manusia. Lagipun, bukankah ia merupakan inti pati yang kita berpegang teguh, iaitu melindungi rakyat kita dan membantu orang lain apabila mereka memerlukan bantuan," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin dan rombongan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berlepas pulang dari Honolulu, sebaik tamatnya forum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain