suria

Hadapi Tekanan Kuat, Yingluck Umum Rang Pengampunan Ditarik Balik

BANGKOK: Perdana Menteri Thai Yingluck Shinawatra pada Khamis mengumumkan penarikan balik Rang Undang-Undang Pengampunan, sekaligus merayu protes jalanan dihentikan segera.

Ini berlaku ketika pelabur melahirkan kebimbangan tentang kesan daripada gangguan dan ketidakstabilan akibat protes, terhadap ekonomi negara itu.

"Ini adalah kerajaan yang dipilih, dan kami menghormati suara rakyat. Kami mengesahkan bahawa kami tidak akan kemukakan lagi Rang Undang-undang Pengampunan untuk pertimbangan," kata beliau di sini.

Yingluck menegaskan rang undang-undang itu diperkenalkan dengan niat yang baik dan untuk menggerakkan negara ke depan selepas perbalahan politik ganas dan getir pada masa lepas.

Rang undang-undang itu digubal bagi membebas dan memaafkan mangsa rampasan kuasa dan bukan untuk melindungi rasuah, kata pemimpin wanita itu.

Beliau yakin pembangkang juga ingin melihat negara terus maju, dan kerajaan tidak meminta mereka (Pembangkang) melakukannya (menghentikan protes) untuk kepentingan kerajaan, tetapi demi negara.

Perkara utama pertelingkahan yang menyatukan pembangkang menentang rang undang-undang itu ialah ia bertujuan untuk membolehkan abang Yingluck, bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, kembali dari pemencilan diri tanpa perlu menjalani hukuman penjara kerana kesalahan rasuah beberapa tahun lalu - tuduhan yang menurut Thaksin bermotif politik.

Rang Undang-undang Pengampunan itu akan membebaskan semua pemimpin dan penunjuk perasaan yang terlibat dalam kegelisahan politik di Thailand sejak 2004 dari sebarang salah laku.

Yingluck melahirkan kebimbangan tentang kesan negatif dari konflik politik itu terhadap ekonomi, keyakinan pelabur dan industri pelancongan oleh kerana beribu-ribu menyertai tunjuk perasaan dan jumlah itu dijangka meningkat.

Tinjauan University of the Thai Chamber of Commerce (UTCC), menunjukkan Thailand akan menghadapi prospek pertumbuhan pada hanya 3-3.2 peratus dan kerugian sebanyak 30 bilion baht hingga 60 bilion baht terhadap ekonomi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain