suria

Polis China Tahan Lima Suspek Berkaitan Serangan Pengganas

BEIJING: Polis menahan lima suspek berhubung kejadian rempuhan kenderaan di Kota Larangan Beijing pada Isnin yang mengakibatkan lima maut dan 38 cedera, termasuk pelancong.

Pihak berkuasa China mengklasifikasikan kes ini sebagai serangan pengganas.

Dalam kejadian pada tengah hari itu, seorang lelaki Uyghur dikatakan memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda menggunakan nombor pendaftaran wilayah majoriti Islam Xinjiang untuk merempuh sekumpulan orang ramai, lapor stesen penyiaran kerajaan CCTV pada Rabu.

Ketika kejadian, emak serta isteri pemandunya turut berada di dalam kenderaan berkenaan yang membawa gasolin.

Dua bilah pisau, beberapa batang besi dan sehelai bendera memaparkan "gerakan pelampau agama" ditemukan dalam kenderaan itu, kata CCTV.

Polis Beijing sedang menyoal siasat lima suspek yang mempunyai nama daripada etnik Uyghur.

CCTV melaporkan polis juga merampas bendera dan senjata di tempat tinggal suspek.

Daripada lima yang terbunuh, tiga adalah yang menaiki kenderaan terbabit, seorang warga Filipina dan seorang pelancong lelaki dari Wilayah Guangdong di selatan China.

Mangsa yang cedera pula, termasuk pelancong Filipina dan Jepun, dimasukkan ke Hospital Beijing.

Setakat Selasa, lima daripada yang cedera dibedah dan sedang beransur pulih, manakala 12 berada dalam keadaan kritikal.

Sebanyak 21 mangsa lagi dilaporkan tidak berada dalam keadaan berbahaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Maut Ribut Landa Eropah

Artikel Lain