suria

Ratusan Penyokong Morsi Bertempur Dengan Anggota Keselamatan

KAHERAH: Ratusan penyokong presiden Mohamed Morsi bertempur dengan anggota keselamatan pada Isnin, beberapa jam selepas seorang wakil khas Amerika Syarikat (AS) menggesa pemimpin-pemimpin Mesir yang mendapat sokongan tentera untuk menamatkan keganasan.

Wakil AS, Bill Burns turut menggesa tentera untuk mengelak penahanan bermotifkan politik .

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan kepimpinan baharu termasuk tentera yang dilantik sebagai Perdana Menteri sementara Hazem al-Beblawi yang akan memuktamadkan barisan Kabinetnya pada Selasa atau Rabu.

Namun Parti Ikhwan Muslim enggan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan baharu itu dan para penyokongnya masih mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut pihak tentera supaya mengembalikan semula kuasa pemerintahan kepada Morsi.

Pada Isnin, ratusan penunjuk perasaan merosakkan jambatan merentasi Sungai Nil yang terletak di tengah-tengah Kaherah.

Anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan seperti yang dilaporkan koresponden agensi berita AFP.

Penunjuk perasaan tersebut membaling batu ke arah pasukan keselamatan sebagai reaksi balas kerana melepaskan gas pemedih mata.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Kaherah selepas menikmati juadah berbuka puasa bagi menuntut kuasa pemerintahan dikembalikan kepada Morsi.

Artikel Lain