suria

New Zealand Lulus Undang-Undang Perkahwinan Sejenis, Australia Kini Tertekan

SYDNEY: Kerajaan Australia pimpinan Perdana Menteri, Julia Gillard berhadapan dengan tekanan apabila ahli-ahli parlimen khususnya dari Parti Buruh pimpinannya mahu melakukan pindaan ke atas akta perkahwinan bagi menghalalkan perkahwinan sejenis.

Jiran Australia, New Zealand pada Rabu menjadi negara Asia-Pasifik yang pertama meluluskan undang-undang perkahwinan sejenis selepas parlimen mengundi 77 menyokong manakala 44 lagi menentang.

Keputusan itu juga menjadikan New Zealand sebagai negara ke-13 di dunia yang mengizinkan perkahwinan sejenis dari sudut undang-undang dengan Britain dan Perancis dijangka menjadi negara seterusnya yang akan mengadaptasikan perundangan yang sama.

Parlimen Australia September lalu telah mengundi untuk menolak sebarang cadangan membentuk rang undang-undang itu dengan Gillard sendiri menegaskan, perkembangan terbaru di New Zealand itu tidak akan sama sekali mengubah pendiriannya.

"Untuk menjadikan perkahwinan sejenis dan kesaksamaan perkahwinan di negara ini sebagai satu undang-undang, saya rasa ragu-ragu itu akan berlaku di Australia.

"Tetapi sebagai sebuah parti politik, kami telah memutuskan bahawa orang ramai berhak mengeluarkan pandangan mereka, menyatakan kepercayaan mereka dan lain-lain pandangan walaupun di dalam parlimen," ujarnya ketika bertemu dalam satu forum kemasyarakatan di sini.

Dalam pengundian pada September lalu, 98 ahli parlimen mengundi untuk menolak sebarang pengenalan undang-undang untuk membenarkan perkahwinan sejenis manakala 42 lagi menyokong.

Gillard bagaimanapun membenarkan anggota-anggota parlimen dari partinya iaitu Parti Buruh untuk mengundi mengikut kata hati mereka bukan mengikut polisi dan dasar parti berhubung isu tersebut.

Pemimpin pembangkang, Tony Abbott yang mempunyai adik perempuan lesbian turut menolak cadangan pembentukan undang-undang baru berhubung perkahwinan sejenis.

Bagaimanapun masyarakat Australia terbahagi dua dalam isu berhubung perkahwinan sejenis ini.

Sementara undang-undang persekutuan menolak perkahwinan sejenis, lima buah negeri di negara itu mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Tetapi ia tidak membawa apa-apa makna dari segi perundangan dan tuntutan kerana bidang kuasa perkahwinan terletak di bawah undang-undang persekutuan bukannya negeri, yang hanya mendefinasikannya sebagai penyatuan antara lelaki dan wanita.

Oleh yang demikian, pasangan sejenis tidak boleh membuat sebarang tuntutan atau pampasan perkahwinan mengikut undang-undang persekutuan.

Sementara itu Rodney Croome, jurucakap sebuah pertubuhan yang memperjuangkan kesaksamaan perkahwinan iaitu Australian Marriage Equality, memberitahu, adalah dijangkakan lebih seribu pasangan sejenis akan berangkat beramai-ramai ke New Zealand untuk melangsungkan perkahwinan di negara itu tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain