suria

Pelajar Asing Mulai Kurang Di Britain

NEW DELHI: Datuk Bandar London, Boris Johnson berkata, Britain mula untuk ‘kehilangan’ pelajar asing dari Kanada, Australia dan negara-negara lain berikutan syarat ketat untuk visa pelajar asing.

“Dasar mengenai visa memberikan petanda yang salah. Terdapat banyak syarat membuatkan kita mula kehilangan perniagaan ke Australia, Amerika dan Kanada,” kata Johnson dalam lawatannya ke New Delhi.

Johnson, yang menyifatkan lawatan itu bertujuan untuk merapatkan hubungan pendidikan dan kebudayaan antara Britain dan India, berkata bahawa beliau percaya kekangan itu akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan reputasi Britain.

Johnson berkata, beliau telah menulis surat kepada Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Britain, Theresa May bagi meluahkan kebimbangannya mengenai undang-undang baru di mana para pelajar akan berhadapan dengan had keupayaan untuk bekerja dan standard bahasa Inggeris yang semakin sukar, antara yang terkandung sebagai syarat-syarat.

“Sebagai datuk bandar, saya akan buat apa yang boleh untuk mempromosikan London sebagai sebuah tempat yang membuka peluang perniagaan dan membuka peluang bakat yang sangat cerah di dunia,” kata Johnson.

Beliau berkata, pelajar asing memberi idea yang baik untuk mengukuhkan reputasi terhadap universiti terkemuka di London dan mereka turut mempuunyai “kuasa yang besar untuk mengembangkan ekonomi United Kingdom (UK)”. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain