Berpuluh Ribu Adakan Tunjuk Perasaan Di Bangkok - Dunia | mStar

Berpuluh Ribu Adakan Tunjuk Perasaan Di Bangkok

BANGKOK: Berpuluh ribu penunjuk perasaan berkumpul di sini pada Sabtu untuk mendesak kerajaan berundur, manakala pihak berkuasa keselamatan pula mengadakan kawalan ketat dan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku keganasan.

Sesetengah penunjuk perasaan berkumpul di Royal Plaza, tempat terletaknya patung King Rama V, sejak malam Jumaat, walaupun tunjuk perasaan sebenar hanya bermula pada 9 pagi ini.

Kekecohan kecil berlaku apabila polis terpaksa menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang berkumpul di Jambatan Makawan Rangsan pada kira-kira 9 pagi ketika merancang untuk merempuh sekatan polis dan enggan menggunakan laluan yang diperuntukkan kepada mereka untuk menyertai perhimpunan itu.

Polis mengepung kawasan berkenaan untuk melindungi pejabat kerajaan di situ daripada diceroboh dan menetapkan laluan untuk digunakan para penunjuk perasaan yang hendak menuju ke Royal Plaza.

Beberapa anggota polis cedera ringan dan lebih kurang 100 penunjuk perasaan ditangkap apabila polis membuat pemeriksaan untuk memastikan mereka tidak membawa senjata.

Kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa kawasan di bandar raya ini, terutama yang berhampiran dengan Royal Plaza, selama sembilan hari, bermula 22 November.

Akta itu memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menangkap penunjuk perasaan, mengenakan perintah berkurung, mengharamkan perhimpunan dan mengerahkan tentera untuk membantu polis mengawal keselamatan.

Pada Jumaat, polis menganggarkan 70,000 penunjuk perasaan akan menyertai perhimpunan itu dan mengerahkan kira-kira 20,000 anggotanya untuk mengawal keselamatan pada perhimpunan yang diadakan Sabtu.

Dalam perutusan melalui televisyen pada 22 NOvember, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata laporan perisikan menyatakan perhimpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

"Laporan perisikan menunjukkan para penunjuk perasaan akan melakukan keganasan, menyerang bangunan kerajaan dan menghasut orang ramai supaya melakukan kekacauan untuk mencapai objektif mereka," katanya.

Perhimpunan anjuran kumpulan Pitak Siam ini diketuai jeneral bersara Boonlert Kaewprasit dan kumpulan berkenaan mendakwa kerajaan sedia ada hanya merupakan kerajaan boneka yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghapuskan rasuah.

"Kami akan adakan perhimpunan secara aman. Kami mahu kerajaan berundur. Kami tak akan merampas mana-mana bangunan kerajaan," kata Boonlert di Royal Plaza Sabtu.

Pada 22 November, Ketua Polis Negara Adul Saengsingkaew berkata laporan menunjukkan bahawa para penunjuk perasaan mungkin cuba menjadikan perdana menteri sebagai tebusan dan merampas pejabat kerajaan.

Sehubungan itu, semua bangunan kerajaan, terutama Government House, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, dan bangunan parlimen dikawal ketat. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

Artikel Lain