suria

Lawatan Ke Asia Tenggara Bersama Obama Adalah Yang Terakhir Buat Hillary Clinton Selaku Setiausaha Negara AS

PHNOM PENH: Tugas mengiringi Presiden Barack Obama ke Asia Tenggara minggu ini adalah merupakan yang terakhir buat Hillary Clinton selaku setiausaha negara Amerika.

Ini kerana, selepas ini beliau memutuskan tidak akan berkhidmat lagi bersama kabinet Obama kerana hendak berehat panjang dan menghabiskan masa untuk menulis buku.

Dalam sistem pentadbiran Amerika Syarikat (AS), jawatan 'menteri luar' dinamakan 'setiausaha negara'.

Di dalam perlembagaan Amerika, ia adalah jawatan awam yang ketiga paling berkuasa di dalam pentadbiran negara selepas presiden dan naib presiden.

Seandainya sesuatu terjadi kepada presiden dan naibnya, setiausaha negara akan mengambil alih proses mentadbir negara sehingga senat memutuskan siapakah penganti presiden. Dalam konteks Hillary Clinton, beliau bermula sebagai pencabar Obama dalam Parti Demokrat untuk jawatan calon presiden enam tahun yang lalu tetapi setelah tewas di tangan Obama, Hillary bersetuju untuk berkhidmat sebagai setiausaha negara di bawah kepimpinan Obama.

Kini setelah Obama memenangi jawatan presiden untuk penggal kedua, Hillary membuat keputusan untuk bersara dari jawatan awam buat sementara waktu.

Kini selepas persaraannya ramai yang ingin menanti apakah Hillary masih mempunyai selera untuk terus bersaing bagi memperolehi nominasi partinya untuk jawatan presiden.

Ini kerana selepas selesai penggal keduanya, perlembagaan tidak membenarkan Obama bertanding lagi jawatan presiden.

Mungkin pada masa itu (2016) Hillary Clinton mahu mencuba nasib untuk kali yang kedua - lebih-lebih lagi selepas beliau mengutip pengalaman berharga berkhidmat sebagai setiausaha negara selama empat tahun di bawah Obama.

Bagaimanapun, Hillary yang kini sudah berusia 65 tahun akan mencapai umur 69 tahun menjelang pilihan raya presiden akan datang.

Apakah pada masa itu beliau sudah keletihan untuk sekali lagi mengharungi kempen pilihan raya yang panjang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain