suria

Malaysia Diminta Tingkat Promosi Durian Berkualiti Di China

BEIJING: Walau pun durian Malaysia telah memasuki China, iaitu pasaran terbesar di dunia hampir dua tahun, masih ramai rakyat China yang tidak mengetahui bahawa Malaysia adalah negara pengeluar durian.

"Pendidikan dan promosi adalah dua inisiatif utama yang kerajaan kita perlu lakukan untuk memastikan rakyat China mengetahui bahawa Malaysia adalah negara pengeluar durian yang lebih berkualiti," kata Pengerusi Konsortium Industri Buah-buahan Sejuk (M) Sdn Bhd Wilson Lim.

"Kita perlu mendidik mereka bahawa Malaysia hanya mengeksport durian beku dan ia segar dan bukan sahaja yang baharu dikopek yang disifatkan baik dan terasa sedap.

"Walau pun durian kita dibekukan, durian berkenaan diproses menggunakan teknologi tinggi dan dibungkus secara vakum, tanpa menggunakan aditif," katanya.

Tempoh hayat durian beku ialah sekurang-kurangnya setahun jika disimpan mengikut keadaan beku yang berpatutan dan kesegarannya juga akan kekal.

"Sebaik dibekukan, raja buah itu tidak akan masam sehingga dinyah beku," kata Lim.

Bercakap kepada Bernama, katanya konsortium itu juga telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengiklankan dan mempromosikan durian Malaysia melalui media China di sini.

"Kami menyasarkan 10 bandar raya yang termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Xiamen, Chengdu, Harbin, Sichuan, Tianjin dan Nanning."

"Kita perlu membolehkan sekurang-kurangnya 600 juta hingga 900 juta rakyat China mengetahui mengenai durian Malaysia."

Katanya beliau telah mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan untuk membolehkan rangkaian dokumentari milik kerajaan, CCTV9, untuk mengeluarkan dan menyiarkan dokumentari durian Malaysia.

"Kita akan menjemput mereka bagi mengadakan temu bual dan membuat pengembaraan di ladang, kilang durian Malaysia bagi melihat durian beku diproses," katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Dagangan Pengeluaran Segar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Lee Yoon Keong berkata kerajaan telah memberikan respons yang positif terhadap cadangan itu.

Sementara itu, durian yang dikeluarkan oleh Konsortium Industri Buah-buahan Sejuk perlu melalui proses yang termasuk Pemantauan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ).

Bagi memudahkan pengeksport durian Malaysia mengeksport durian ke negara lain, Persatuan Pengeksport Durian Malaysia (MDEA) telah ditubuhkan pada Jun tahun ini.

Presidennya, Paul Mak berkata MDEA menyasarkan untuk mempromosikan durian Malaysia, menganjurkan aktiviti berkaitan untuk mengeksport durian Malaysia dan memastikan pematuhan standard kualiti tertentu.

"MDEA adalah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kami juga bekerja rapat dengan agensi kerajaan Malaysia yang berkaitan, yang termasuk FAMA," katanya.

Katanya kira-kira 30 syarikat berdaftar dengan Persijilan Amalan Pertanian Baik (GAP) menyertai persatuan itu.

Sementara itu, Chen Yuqin dan Liu Fang, yang kedua-duanya berumur 21 tahun dari China, berkata mereka yang telah mencuba beberapa kali masih belum dapat membezakan antara durian Thai dan durian Malaysia.

Seorang rakyat China, Ma Ronghua, 50, telah membeli sedozen peket durian beku sebagai hadiah di Pameran Perdagangan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Dunia China 2012 di sini.

Katanya durian Malaysia mempunyai aroma dan lebih berkrim selepas membuat perbandingan dengan durian Thai di tempat berkenaan.

Liu Guifen, 66, berkata ini adalah percubaan pertamanya memakan durian beku selepas mendengar mengenai buah itu yang mempunyai kulit yang tajam dan keras. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain