suria

Hukuman 58,595 Banduan Diringankan Sempena Hari Kemerdekaan Indonesia

JAKARTA: Kerajaan Indonesia memberi peringanan hukuman kepada 58,595 banduan sempena Hari Kemerdekaan ke-67 negara itu hari ini, kata Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Amir Syamsuddin.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 2,246 banduan dibebaskan manakala bakinya menerima pengurangan sebahagian daripada tempoh hukuman penjara.

Selain itu, Amir berkata, sempena Aidilfitri, kerajaan memberi peringanan hukuman kepada 49,781 banduan dan 793 banduan mendapat kebebasan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Shihabudin, berkata banduan warga asing turut diberi peringanan hukuman selama enam bulan iaitu banduan jenayah narkotik dari Australia, Schapelle Leigh Corby dan rakan senegara Rene Lawrance.

Bagi banduan dari Jerman, Peter Achim Franz Grabmann mendapat peringanan tempoh hukuman penjara selama dua bulan, sebagaimana yang diberikan juga kepada Garcia Jean Marc Patrice. - BERNAMA

Artikel Lain