suria

Brahimi Bakal Ganti Tempat Kofi Annan

NEW YORK: Diplomat veteran yang juga bekas Menteri Luar Algeria, Lakhdar Brahimi akan dinamakan sebagai Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab di Syria bagi menggantikan Kofi Annan.

Bagaimanapun, rundingan dilaporkan masih diteruskan berhubung peranan wakil khas berkenaan dan bagaimana PBB boleh terus beroperasi di Syria yang kini dalam kancah perang saudara.

Mandat misi PBB di Syria akan tamat 20 Ogos ini.

Menurut sumber, pengumuman rasmi mengenai pelantikan Brahimi, 78, akan dilakukan awal minggu depan.

“Kami hampir pasti Brahimi akan dilantik,” kata seorang diplomat PBB.

“Dia adalah pilihan Setiausaha Agung PBB dan namanya akan diumumkan minggu depan sebelum mandat PBB berakhir," kata seorang lagi diplomat.

Annan, bekas Setiausaha Agung PBB berkata, beliau mahu mengakhiri tugasnya itu kerana tidak mendapat sokongan antarabangsa bagi menamatkan konflik di Syria yang berlarutan selama 17 bulan.

Brahimi pernah menjadi wakil PBB di Afghanistan selepas serangan pengganas 11 September 2001 dan di Iraq selepas penaklukkan Amerika pada 2003.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain