suria

Gempa Di Acheh Ragut Satu Nyawa

JAKARTA: Gempa bumi berkekuatan 6.4 pada skala Richter di Simeulue, Acheh pagi ini mengorbankan satu jiwa dan mengakibatkan 20 bangunan rosak, demikian menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Mangsa yang dikenali sebagai Abudal alias Puyong, 65, meninggal dunia setelah terjatuh semasa berusaha menyelamatkan diri. Beliau juga dilaporkan menghidap penyakit darah tinggi.

Di antara bangunan yang rosak itu di tiga buah daerah kecil di Simeulue itu termasuklah lima buah masjid, lima buah pusat kesihatan masyarakat, tiga buah sekolah dan sebuah pasar.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan gempa bumi pukul 7.27 pagi itu berpusat di 24 km ke barat daya daerah Simeulue, 317 km ke barat daya Medan, Sumatera Utara dan 1,546 km ke barat laut Jakarta.

Gempa bumi yang berkedalaman 10 km itu tidak menghasilkan tsunami. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain