Singapura Nafi Dakwaan Campur Tangan Dalam Politik Malaysia - Dunia | mStar

Singapura Nafi Dakwaan Campur Tangan Dalam Politik Malaysia

SINGAPURA: Kerajaan Singapura menolak dakwaan dalam media Malaysia dan sesetengah laporan online bahawa ia campur tangan dalam politik domestik negara itu.

Saluran televisyen tempatan Channel NewsAsia (CNA) melaporkan seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar sebagai berkata dakwaan sedemikian tidak berasas.

Ini berikutan dakwaan pembabitan pegawai Singapura dalam demonstrasi Bersih baru-baru ini.

Ada laporan-laporan menyebut bahawa beberapa belia dilatih di Singapura sebagai ejen mengundi dan pengiraan undi bagi pilihan raya umum Malaysia yang akan datang.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Hal Ehwal Luar berkata pegawainya hadir pada perhimpunan Bersih 3.0 sebagai pemerhati bebas.

Jurucakap itu berkata ia merupakan sebahagian daripada tugas profesional diplomatik yang biasa. Beliau berkata pegawai berkenaan tidak memakai pakaian berwarna kuning bagi mengelak dianggap sebagai peserta perhimpunan.

Mereka menghindari Dataran Merdeka, yang diisytiharkan kawasan larangan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Kementerian itu berkata pegawai terbabit hanya melaksanakan tugas diplomat yang sah bagi memerhati perkembangan politik di negara yang mereka dihantar bertugas.

Ia menjelaskan bahawa seorang pegawai diplomatik "dijangka mengemaskini perkembangan negara tuan rumah berkenaan dan untuk memahami keadaan dan sentimen di lapangan. Terdapat juga sudut konsular.

Kementerian itu berkata Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur menerima pelbagai pertanyaan daripada rakyat Singapura yang ingin mendapatkan nasihat.

Dengan pengetahuan mengenai keadaan itu membantu Suruhanjaya Tinggi untuk menawarkan nasihat dan bantuan konsular yang berkesan.

"Saya ulangi bahawa ini merupakan fungsi biasa bagi seorang diplomat. Sebenarnya, diplomat-diplomat asing di Kuala Lumpur juga memantau perhimpunan itu. Adalah pelik bagi sesetengah media Malaysia mengkhususkan Singapura," kata CNA memetik jurucakap kementerian sebagai berkata.

CNA berkata kementerian juga menolak dakwaan bahawa Singapura melanggar Konvensyen Vienna.

"Perkara ini tidak benar. Artikel 41(1) Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 menyebut: "Tanpa prejudis kepada keistimewaan dan imuniti, ia merupakan tugas semua orang menikmati keistimewaan dan imuniti bagi menghormati undang-undang dan peraturan negara penerima. Mereka juga bertanggungjawab untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara berkenaan'.

"Saya ulangi bahawa pegawai-pegawai kami tidak mencampuri hal ehwal domestik di Malaysia. Mereka memerhati. Mereka begitu berhati-hati mematuhi semua undang-undang dan peraturan domestik. Biar saya sebutkan dengan jelas kerajaan Singapura tidak berpihak dan tidak mencampuri politik domestik mana-mana negara.

Pada perkembangan lain, kumpulan Bersih menjelaskan (dalam laman Facebooknya) bahawa latihan bagi ejen mengundi dan pengiraan undi di Singapura adalah satu acara yang "dianjurkan oleh 'Malaysians for Malaysians' sahaja.

CNA berkata pihak berkuasa Singapura sedang meneliti dakwaan-dakwaan ini.

Jurucakap kementerian berkata rakyat asing tidak dibenarkan terbabit dalam kegiatan politik di Singapura.

Singapura juga telah menolak permohonan Bersih 3.0 bagi mengadakan perhimpunan yang sama di republik itu.

"Sekali lagi, kami tidak mempunyai kepentingan untuk mencampuri politik domestik sesiapapun. Kami menolak permohonan Bersih 3.0 untuk mengadakan perhimpunan serentak di Singapura. kenapa kami melakukannya jika kami mahu campur tangan?" kata jurucakap itu.

Ia menyebut bahawa Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman meminta untuk bertemu Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong bagi menjelaskan kedudukan Singapura dan menangani "dakwaan tidak berasas ini bagi mengelak salah faham". - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

Artikel Lain