Pekerja Kanak-Kanak Di Indonesia Hampir 1 Juta Orang - Dunia | mStar

Pekerja Kanak-Kanak Di Indonesia Hampir 1 Juta Orang

JAKARTA: Jumlah pekerja kanak-kanak di Indonesia yang berusia 10-14 tahun pada tahun lepas berjumlah 878,100 orang dan angka itu adalah amat tinggi, kata Menteri Perancangan Pembangunan Nasional (PPN), Armida Salsiah Alisjahbana.

Sementara itu, jumlah kanak-kanak pada lingkungan usia sama yang sedang mencari pekerjaan mencapai 174,500 orang, katanya dalam suatu perbincangan di Jakarta, Rabu.

Menurut Banci Penduduk Tahun 2010, jumlah kanak-kanak berusia 10-14 tahun ialah 22 juta orang.

"Ini bererti hampir lima peratus kanak-kanak Indonesia yang berusia 10-14 tahun yang bekerja dan sedang mencari pekerjaan. Jumlah ini menurut saya adalah jumlah yang cukup tinggi," tegasnya.

Menurut beliau, keadaan seperti itu tidak boleh dibiarkan terus dan harus mendapat perhatian khusus kerana pada usia itu, kanak-kanak masih duduk di bangku sekolah.

Untuk mengatasi masalah itu, beliau berkata kerajaan pada dasarnya sudah mempunyai pelbagai program yang terarah dan berkesinambungan.

Munculnya pekerja kanak-kanak dalam kegiatan ekonomi, kata beliau adalah disebabkan faktor kemiskinan dan sehubungan usaha mengatasinya perlu dikaitkan dengan program-program pembanterasan kemiskinan.

"Pada prinsipnya, kanak-kanak harus diberikan kesempatan seluas-luasnya mendapat pendidikan agar semua kanak-kanak dapat mengikuti program pendidikan asas sekurang-kurangnya sembilan tahun, sehingga jumlah pekerja kanak-kanak mengalami penurunan," jelas beliau lagi. "Jika pekerjaannya ringan tentu dapat difahami, misalnya sekadar membantu orang tuanya, dan yang terpenting tidak mengganggu anak-anak bersekolah," katanya.

Armida menjelaskan bahawa angkatan pekerja di Indonesia adalah penduduk yang berusia 15 tahun ke atas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain