suria

India Sedia Contohi Sistem Tabung Haji

NEW DELHI: Forum berhubung pengurusan jemaah haji di India (FHMI) turut membincangkan rancangan untuk mencontohi Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia dalam urusan menghantar rakyat India menunaikan haji pada masa hadapan. India adalah negara kedua terbesar di dunia didiami penduduk Muslim dengan lebih 180,000 rakyatnya menunaikan haji setiap tahun.

Satu pembaharuan diperlukan bagi mengadakan sistem institusi jangka panjang yang menyeluruh dan kekal dalam pengurusan jemaah haji, lapor akhbar Times of India yang memetik kenyataan Anggota Parlimen K. Rahman Khan.

"Dalam keadaan ini, contoh yang dilakukan oleh Tabung Haji di Malaysia adalah jawapan paling berkesan dalam mengatasi masalah bakal-bakal haji di India," katanya.

Tujuannya ialah bagi menggerakkan simpanan berjuta-juta bakal haji menerusi satu institusi kewangan unik yang menguruskan tabung berkenaan di bawah prinsip Syariah untuk menunaikan keinginan mereka yang begitu lama bagi menunaikan haji, katanya lagi. FHMI itu dianjurkan bagi membincangkan isu dan kebimbangan berhubung soal pengurusan jemaah haji dan mengesyorkan pilihan supaya diadakan pengurusan menunaikan haji tanpa subsidi di India.

Tujuan utama persidangan anjuran FHMI yang dipengerusikan oleh Rahman Khan ialah untuk memahami fungsi Tabung Haji yang dikendalikan secara berkesan di Malaysia dan mencari kesepakatan di kalangan rakyat Muslim di India bagi menubuhkan badan yang serupa.

Persidangan itu menumpukan fokus ke arah penubuhan satu mekanisme institusi yang mampan bagi mengurangkan kesan penarikan balik secara beransur-ansur subsidi haji bagi majoriti jemaah haji India yang miskin berikutan keputusan Mahkamah Agung untuk menghentikan bantuan subsidi bagi tempoh 10 tahun yang akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain