suria

Perlindungan Risiko Terbesar Kepada Penyepaduan Asean - WTO

BANGKOK: Pengaruh dan kedudukan Asean mesti diiringi dengan kesediaan untuk mengelak perlindungan, menghapuskan halangan perdagangan dan memperkukuh penyepaduan serantau, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Pascal Lamy, Khamis.

Beliau memberitahu Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Timur di sini, perlindungan merupakan risiko terbesar yang dihadapi oleh rantau ini ketika ia bergerak untuk menubuhkan Komuniti Asean menjelang 2015.

"Risiko terbesar ialah perlindungan; ia merupakan risiko yang serius dan risiko yang semakin meningkat," kata Lamy.

Beliau berkata rantau ini tidak terlepas daripada faktor luaran walaupun prestasinya lebih baik berbanding rantau lain di dunia.

Ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat (US) dan Eropah dan ekonomi China yang semakin perlahan, akan menjejaskan rantau ini, katanya.

Berdasarkan keluaran dalam negara kasar berjumlah US$3 trilion, sumber semula jadi yang besar dan kedudukan demografi, rantau Asean memiliki semua aset untuk menjadi tonggak ekonomi dunia, katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pertumbuhan serantau yang mapan bergantung kepada pengukuhan Asean.

"Tindakan utama yang sudah berlaku sejak beberapa tahun ialah penyepaduan Asean. Ia merupakan kelebihan perbandingan kukuh rantau ini. Menerusi penyepaduan yang lebih baik, rantau ini akan lebih berdaya tahan," kata Lamy.

Timbalan Perdana Menteri Thai Kittirat Na-Ranong, yang juga Menteri Kewangan menegaskan mengenai pentingnya negara anggota Asean mengimbangi antara pacuan pertumbuhann ekonomi domestik, serantau dan dunia, dan mewujudkan zon penimbal untuk menghadapi kejutan luar.

"Asia Timur dan Asia Tenggara sudah terlalu lama memberi tumpuan ke atas pertumbuhan eksport dan kita lupa kita ada ruang untuk meningkatkan ekonomi kita sendiri.

"Kini perkataan penting ialah kesimbangan. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu diri kita sendiri supaya dapat membantu ekonomi lain," katanya.

Beliau berkata tumpuan ke atas pertumbuhan domestik serta memperkukuh penyepaduan serantau akan memberi kelebihan kepada ekonomi individu, rantau bersempadan dan pasaran US dan Eropah yang suram. - BERNAMA

Artikel Lain