suria

Ribuan Penyokong Baju Merah Banjiri Pusat Bandar Bangkok

BANGKOK: Ribuan penyokong kumpulan Baju Merah membanjiri pusat bandar bagi melawat semula kawasan yang pernah mereka duduki lebih 40 hari dan membawa kepada pertembungan berdarah sehingga meragut nyawa 92 orang.

Mereka mula berkumpul di Persimpangan Ratchaprasong sejak awal pagi dan menjelang tengah hari, kawasan itu penuh dengan warna merah.

Police menganggarkan 12,000 orang berkumpul di situ setakat 3 petang dan meramalkan perhimpunan itu, yang dijadual berakhir 2 pagi esok, mampu menarik 50,000 penyokong kumpulan Baju Merah.

Pemimpin Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) Thida Thawornset pula meramalkan kira-kira 100,000 penyokong akan hadir pada perhimpunan, Sabtu.

Beliau berkata perhimpunan sempena ulang tahun kedua pertembungan 19 Mei 2010 antara kumpulan itu dan tentera, juga diadakan bagi menuntut keadilan untuk mereka yang terkorban dan cedera dalam pertempuran April-Mei tersebut.

Lebih 1,800 orang cedera dalam pertempuran itu, dan 19 Mei merupakan kemuncak kepada pertembungan tersebut apabila tentera mengambil alih Persimpangan Ratchaprasong yang diduduki kumpulan Baju Merah.

"Selepas dua tahun, kami masih menuntut keadilan untuk mereka yang terkorban dan cedera," kata Thida ekoran tidak ada pihak yang dipertanggungjawabkan atas kematian dan kecederaan mangsa terbabit.

Senjata M-16, AK-47, dan bom digunakan dalam pertempuran pada 19 Mei itu.

Kumpulan Baju Merah mengadakan protes jalanan selama sebulan, bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan ketika itu untuk membubarkan Parlimen.

Kini, kumpulan itu memihak kepada kerajaan. Persimpangan Ratchaprasong yang terletak di tengah-tengah Bangkok, merupakan lokasi pusat beli-belah mewah, hotel dan pejabat.

Ketika pendudukan mereka, penyokong kumpulan Baju Merah berkhemah di situ lengkap dengan kanopi, dapur mudah alih, tandas dan klinik bergerak, sekaligus menutup keseluruhan kawasan itu kepada lalu lintas sehingga menyebabkan aktiviti perniagaan dihentikan untuk sementara waktu.

Secara keseluruhan, situasi keselamatan pada perhimpunan hari ini (Sabtu) adalah terkawal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain