suria

UiTM Berkerjasama Dengan Universiti Thai Untuk Tenaga Baharu

BANGKOK: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan bekerjasama dengan Kasetsart University of Thailand bagi meneroka sumber baharu tenaga yang boleh diperbaharui daripada "perladangan tenaga".

Rektor UiTM Kampus Pahang Prof Madya Datuk Dr Hilmi Ab Rahman berkata kayu daripada pokok 'Luceana' boleh dibakar bagi menghasilkan wap yang kemudiannya boleh ditukarkan menjadi tenaga.

"Ia merupakan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui memandangkan pokok Luceana boleh dituai hanya dalam masa 18 bulan berbanding bahan api fosil yang mengambil masa ribuan tahun untuk dimajukan," katanya kepada Bernama, di sini.

Spesies Luceana juga dikenali sebagai Petai Belalang di Malaysia dan Ipil-Ipil terutamanya di Sabah.

Beliau berkata tenaga baharu yang boleh diperbaharui boleh menjadi alternatif kepada sumber utama tenaga pada masa ini seperti minyak, gas, arang batu dan hidro.

Dr Hilmi berkata tenaga baharu yang boleh diperbaharui itu menawarkan penyelesaian yang murah kepada bahan api fosil yang semakin berkurangan dan harga minyak mentah yang semakin tinggi yang mencapai kira-kira US$120 setong pada masa ini.

"Tambahan pula, para pelabur berminat untuk melihat kepada sumber tenaga apabila bergerak ke arah teknologi hijau sekarang," katanya.

Beliau berkata Kasetsart University mempunyai kepakaran dan teknologi dalam penggunaan perladangan tenaga memandangkan mereka telah menjalankan penyelidikan berhubung perkara itu sejak 40 tahun lalu.

UiTM juga terlibat dalam penyelidikan perladangan tenaga dan bersama-sama dengan Kasetsart University, kedua-dua universiti itu boleh meningkatkan penyelidikan mereka terutama dalam kejuruteraan genetik pokok Luceana bagi memastikan kelestarian bekalan pokok itu, katanya.

Beliau berkata UiTM telah menanam spesies Luceana di kawasan perladangan seluas 5,000 hektar di Merchang, Dungun yang terletak antara Dungun dan Kuala Terengganu, sebagai projek perintis.

Dr Hilmi berkata setakat ini tiada negara yang menghasilkan tenaga berasaskan kayu Luceana.

Beliau berkata tenaga baharu yang boleh diperbaharui mempunyai potensi yang besar bukan sahaja untuk Malaysia dan Thailand tetapi juga untuk seluruh rantau Asean dan juga seluruh dunia.

"Kita perlu mengubah pemikiran pembuat dasar dan industri bahawa perladangan pokok itu bukan hanya setakat menghasilkan kayu untuk perabot," katanya.

Di Malaysia, pokok Luceana didapati tumbuh berselerak di hutan manakala di Thailand, pokok itu telah digunakan bagi mencegah hakisan tanah dan daunnya pula digunakan untuk makanan haiwan," katanya.

"Ia merupakan idea gila mengenai perladangan tenaga tetapi ia boleh dilakukan," kata seorang saintis dari UiTM Pahang, Dr Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman.

Beliau berkata tenaga baharu boleh diperbaharui terbukti mampu menghasilkan 1 megawatt tenaga elektrik bagi menjana sebuah enjin diesel di Sabah.

"Kita gunakan dua pembakaran dengan 80 peratus mengandungi tenaga baharu boleh diperbaharui dan 20 peratus diesel bagi menjana enjin diesel," katanya.

Dr Wan Mohd Nazri berkata penyelidikan dan pengubahsuaian lanjut diperlukan jika 100 peratus daripada tenaga baharu boleh diperbaharui digunakan untuk enjin diesel.

Sebenarnya projek perintis perladangan itu pada masa ini membekalkan tenaga bagi sebuah kilang kayu di Kertih, katanya.

Beliau tidak dapat memberikan kos perbandingan bagi menjana tenaga elektrik menggunakan tenaga baharu boleh diperbaharui berbanding bahan api fosil tetapi memberi jaminan ia jauh lebih murah dengan dapatan ini.

Dr Wan Mohd Nazri mempertahankan bahawa tenaga baharu boleh diperbaharui merupakan satu teknologi hijau kerana ia membabitkan perladangan pokok dan pembakaran kayu bagi menjana tenaga yang dilakukan secara mesra alam. - BERNAMA

Artikel Lain