suria

Vietnam Airlines, Jetstar Group Jalin Pakatan

SINGAPURA: Vietnam Airlines Company Ltd dan Qantas Group (syarikat induk Jetstar Group) dari Australia, mengumumkan jalinan pakatan baru bagi syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Vietnam, Jetstar Pacific Airlines.

Jetstar Pacific, yang sebelum ini diuruskan oleh Vietnam State Capital Investment Corporation (SCIC), kini dipindahkan kepada Vietnam Airlines menurut keputusan Perdana Menteri yang berkuat kuasa 16 Jan, 2012.

Pemeteraian rasmi diadakan di Hanoi pada Selasa dengan kehadiran wakil Kementerian Kewangan Vietnam, SCIC, Jetstar Group, dan Vietnam Airlines.

Menurut kenyataan bersama, Vietnam Airlines memperoleh semua hak dan obligasi pemegangan saham negara dalam Jetstar Pacific dan menjadi pemegang saham terbesar pada 69.93 peratus.

Qantas Group menjadi pemegang saham kedua terbesar dengan 27 peratus nisbah modal.

Vietnam Airlines menjual tiga peratus pegangannya dalam Jetstar Pacific kepada Qantas Group seiring dengan komitmen jangka panjang dan mengikuti perjanjian sedia ada yang ditandatangani antara SCIC dan Qantas Airways dengan kelulusan kerajaan.

Semasa mesyuarat pemegang saham Jetstar Pacific yang berlangsung pada Selasa di Hanoi, anggotanya bersetuju dengan rancangan pembangunan strategik syarikat penerbangan dan langkah-langkah yang diperlukan untuk pertumbuhan efisen dan kemampanan syarikat.

Lembaga Pengarah Jetstar Pacific bersetuju untuk meneruskan operasi dan memajukan syarikat penerbangan kepada syarikat penerbangan tambang rendah utama di Vietnam.

Melalui perkongsian baru itu, Jetstar Pacific akan menerima suntikan modal permulaan sebanyak A$25 juta yang akan disalurkan untuk memperbaharui kumpulan pesawat dengan pesawat Boeing 737 digantikan dengan pesawat A320 mulai pertengahan 2012. - BERNAMA

Artikel Lain