suria

Populasi Internet Di China Jangkau 513 Juta Orang

BEIJING: Bilangan pengguna Internet di China pada tahun lepas meningkat hampir 56 juta orang kepada lebih separuh satu bilion, di mana hampir separuh daripada mereka menggunakan weibo atau microblog, menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin.

Populasi atas talian di China merupakan yang terbesar di dunia apabila menjangkau seramai 513 juta orang pada 2011 iaitu meningkat sebanyak 12.2 peratus berbanding tahun lalu, kata Pusat Informasi Rangkaian Internet China (CNNIC) dalam satu kenyataan.

Setakat ini, sebanyak 48.7 peratus atau hampir 259 juta orang kini menggunakan weibo berbanding hanya 63.1 juta orang pada akhir 2010 menunjukkan cabaran besar kepada kerajaan untuk mengawal maklumat di negara ini dengan 1.3 bilion penduduk.

Weibo merupakan perkhidmatan microblogging yang amat popular menyamai Twitter yang telah disekat oleh China, kini menjadi medium bagi pengguna web paling popular untuk melepaskan kemarahan mereka ke atas rasuah, skandal dan bencana atau lain-lain peringatan mengenai bantahan atau rusuhan.

Bilangan mereka yang menggunakan medium komunikasi lebih tradisional seperti emel, forum web atau blog semakin menurun, kata CNNIC.

Pihak kerajaan telah menyekat kandungan web yang dianggap sensitif terhadap politik menerusi sistem penapisan yang digelar sebagai ‘Great Firewall of China’, dan amat bimbang terhadap kuasa Internet bagi mempengaruhi pendapat umum.

Dalam usaha melaksanakan lebih kawalan terhadap weibo, beberapa bandar seperti Shanghai dan Beijing kini memerlukan pengguna untuk berdaftar di bawah nama sebenar bagi memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan mereka.

CNNIC berkata, bilangan mereka di kawasan luar bandar menggunakan Internet turut meningkat pada tahun lepas sebanyak 8.9 peratus kepada 136 juta pada 2011 tetapi masih terdapat jurang besar yang wujud antara golongan kaya dan miskin.

Sementara itu, daripada lebih 70 peratus populasi di Beijing menggunakan Internet tahun lalu, namun hanya 24.2 peratus mereka menggunakan Internet di barat daya wilayah Guizhou, kawasan yang paling miskin di China.

Bilangan mereka yang melayari laman web menerusi telefon mudah alih mencecah seramai 356 juta orang pada 2011, meningkat hampir 53 juta orang, kata kumpulan industri itu. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain