suria

Mayat Wanita Ditemui Di Rumah Penembak Belgium

LIEGE, BELGIUM: Polis tempatan pada Rabu, menemui mayat seorang wanita di rumah penembak yang telah melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang sedang bersiap-siap untuk membeli-belah sempena perayaan Hari Natal, sehingga mengakibatkan empat orang terbunuh.

Pemeriksaan yang dilakukan terhadap rumah Nordine Amrani -yang membunuh diri selepas kejadian yang turut mengorbankan seorang bayi- menjumpai mayat wanita berusia 45 tahun.

Pihak pendakwa percaya, wanita tersebut yang tidak dinamakan telah dibunuh sebelum Nordine keluar ke lokasi kejadian tembakan berlaku.

Mayat wanita tersebut ditemui di dalam bangsal dan dipercayai Nordine, 33, menggunakan bangsal tersebut untuk menanam ganja.

Wanita tersebut yang bekerja sebagai tukang cuci di kawasan kejiranan itu dipercayai hadir di rumah tersebut selepas diminta oleh Nordine yang berpura-pura mahu memberikan pekerjaan sebelum diserang.

Ketua Pendakwaan, Cedric Visart de Bocarme yang bercakap di radio awam, RTBF berkata, Nordine mempunyai 20 rekod kesalahan sebelum ini.

Walaupun saksi mengatakan mereka melihat Nordine menembak dirinya sendiri, pihak pendakwaan masih menyifatkan punca sebenar kematian lelaki tersebut sebagai ‘masih belum dipastikan’.

Nordine sebelum ini pernah dipenjarakan dan dibebaskan dengan parol pada tahun lalu atas kesalahan berhubung senjata api dan dadah.

Malah dia juga telah menerima saman untuk hadir ke balai polis pada pagi hari kejadian, tetapi tidak berbuat demikian.

Bayi berusia 17 bulan menjadi mangsa terbaru Nordine yang meninggal ekoran kecederaan teruk yang dialami.

Mangsa lain terdiri daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang mati serta-merta manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dan wanita warga emas, 75 tahun meninggal dunia di hospital.

Difahamkan seramai 123 orang cedera dalam serangan tersebut.

Nordine mensasarkan tembakan ke arah kawasan berhampiran kompleks mahkamah yang semasa itu dipenuhi oleh orang yang sedang lalu-lalang termasuk ratusan remaja yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir tahun dan juga penduduk yang sedang membuat persiapan untuk membeli-belah.

Menteri Dalam Negeri, Joelle Milquet yang sedang menghadiri perbincangan Kesatuan Eropah bergegas pulang ke Liege berkata, lebih 100 orang cedera dalam serangan tersebut.

Serangan itu yang disasarkan ke arah perhentian bas menyebabkan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri ke arah gereja dan kedai-kedai berhampiran.

“Kami mendengar dua bunyi letupan yang sangat kuat dan banyak tembakan manakala orang ramai berlarian ke serata tempat.

“Kami mengunci pintu, menutup lampu dan bersembunyi di belakang kaunter bersama-sama dengan pelanggan lain,” kata pemilik kedai roti yang dikenali sebagai Patricia.

Pusat Krisis Persekutuan Belgium mengesahkan bahawa serangan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan sebarang siasatan jenayah yang sedang berjalan.

Raja Albert II dan Permaisuri Paola serta Perdana Menteri, Elio Di Rupo juga bergegas ke lokasi kejadian.

“Seluruh negara merasai sakit dengan kejadian ini,” kata Di Rupo.

Bekas pemimpin negara itu, Herman Van Rompuy juga melahirkan rasa takziah begitu juga dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menghubungi Di Rupo bagi menyampaikan rasa simpatinya.

Pendakwa Raya, Daniele Reynders berkata, Nordine ‘meninggalkan rumah pada pagi kejadian dengan membawa beg galas’ dan memanjat atap sebuah bakeri sebelum ‘melepaskan tembakan dan melontarkan tiga bom tangan.’

“Tidak dapat dipastikan sama ada dia menembak diri sendiri atau senjata yang dibawanya meletup,” tambah beliau.

Seorang pekerja kedai memberitahu, dia melihat Nordine menarik keluar sepucuk revolver dan ‘menembak dirinya di bahagian kepala.’

Beberapa jam selepas kejadian berlaku menyaksikan ramai yang menangis di tepi-tepi jalan manakala siren ambulans dan bunyi helikopter kedengaran dan jalan-jalan utama dibasahi dengan darah.

Pada 2008, Nordine dihukum penjara selama lima tahun atas kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen dan menanam ganja, iaitu setahun selepas polis menemui pelbagai sebjata termasuk pelancar roket dan senapang AK-47 bersamanya.

Dia bagaimanapun dibebaskan dengan parol pada Oktober 2010. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain