suria

Parti Suu Kyi Peroleh Kebenaran Untuk Didaftarkan

YANGON: Media tempatan pada Selasa, melaporkan bahawa pihak berkuasa Myanmar membenarkan parti pimpinan pembangkang, Aung San Suu Kyi untuk didaftarkan secara rasmi.

Langkah tersebut membawa harapan kepada parti yang memperjuangkan demokrasi di negara tersebut untuk bersaing dengan parti utama lain di negara itu.

Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) sebelum ini dilucutkan daripada parti yang diiktiraf oleh pihak Junta pada tahun lalu ekoran tindakan parti itu memboikot pilihan raya kerana berpedapat peraturan yang dikenakan tidak adil.

Pada pengumuman ringkas yang disiarkan di media rasmi surat khabar New Light of Myanmar menyatakan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya negara tersebut telah membenarkan permohonan NLD untuk didaftarkan semula sebagai sebuah parti politik.

Negara yang dahulunya dikenali sebagai Burma membuat beberapa tindakan yang tidak dijangkakan sebelum ini, seperti membebaskan Suu Kyi daripada perintah tahanan rumah dan mengadakan dialog dengan pihak pembangkang serta membebaskan beberapa tahanan politik.

Suu Kyi berkata, beliau akan bertanding pada pilihan raya akan datang walaupun tiada tarikh telah ditetapkan.

Parti yang dipimpin oleh Suu Kyi memenangi pilihan raya pada tahun 1990 bagaimanapun dihalang untuk memegang tampuk pemerintahan. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain