suria

Lelaki Ditahan Berhubung Wang Di Kafe

SYDNEY: Misteri penemuan beg berisi wang bernilai 1 juta Australia (RM3.17 juta) yang ditinggalkan di sebuah kafe di sini pada Selasa, mungkin terjawab selepas polis menahan seorang lelaki berhubung kejadian tersebut.

Polis mengesahkan bahawa seorang lelaki yang memakai seluar pendek telah meninggalkan beg berisi wang dalam not 50 dolar di Cafe Marco pada Selasa.

Pekerja di kafe tersebut pada awalnya menyangkakan beg tersebut mengandungi bom.

Jurucakap Polis New South Wales, Konstabel Kanan, Chris Nash berkata, lelaki tersebut ditahan pada tengah hari Selasa.

Lelaki terbabit disyaki menghidap penyakit yang masih belum diketahui dan telah dibawa ke hospital di mana dia kini diletakkan di bawah kawalan polis.

Nash memberitahu, polis terpaksa menunggu sebelum dapat menyoal lelaki itu mengenai wang tersebut.

Bagaimanapun, Nash enggan mengesahkan sama ada lelaki yang ditahan itu adalah individu sama yang meninggalkan wang di kafe berkenaan.

Nash menambah, sekiranya wang tersebut didapati adalah milik lelaki tersebut, ia akan dipulangkan.

Bagaimanapun, jika wang tersebut diperoleh melalui cara yang salah, ia akan dirampas oleh kerajaan.

Sekiranya pemilik wang tersebut tidak ditemui, sesiapa yang menjumpainya boleh membuat tuntutan dalam tempoh masa selama tiga bulan.

Seorang pekerja di kafe itu memberitahu, lelaki yang meninggalkan wang tersebut kelihatan sangat gelisah.

“Ia sangat gila dan juga menakutkan. Hari ini saya boleh ketawa apabila mengingatkan kejadian tersebut tetapi semalam saya sangat takut. Saya menghubungi polis,” kata pekerja itu.

Pekerja wanita tersebut bagaimanapun menamatkan perbualan telefon dengan wartawan atas alasan perlu melayan pelanggan dan tidak membalas mesej yang ditinggalkan. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain