suria

Malaysia Sasar Dua Juta Rakyat Singapura Pegang Kad Macs

SINGAPURA: Malaysia menyasarkan dua juta rakyat Singapura untuk menjadi pemegang kad Sistem Penjelasan Automatik Malaysia (MACS) bagi membolehkan akses yang mudah ke negara ini, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Kini, katanya hanya terdapat 100,000 pemegang kad MACS. Beliau berharap dapat meningkatkannya kepada dua juta pemegang kad dan menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura memohon kad tersebut.

"Kami sekarang sedang mencari lebih banyak jalan agar mereka mudah mendapat akses (mendapatkan kad itu) yang saya tidak mahu mendedahkannhya sekarang ini kerana ia masih di dalam kajian pihak Imigresen.

"Bagaimanapun, sebagai Tourism Malaysia, kami bermatlamat memudahkan pergerakan pelancong Singapura ke Malaysia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen pengiklanan Tourism, Malaysia: A Million Experience to Share di sini, Rabu.

Sebelum itu, semasa pertemuan sarapan pagi, Dr Ng telah membincangkan lebih lanjut mengenai cara memudahkan lintasan utama rakyat Singapura.

Malaysia telah memperkenalkan MACS di tambak yang bertujuan mempercepatkan pemprosesan imigresen bagi pelabur asing di Iskandar Malaysia.

"Bagi mengelakkan kelewatan, kami telah mengambil langkah untuk memudahkan sistem penjelasan imigresen," katanya, sambil menyatakan mana-mana rakyat Singapura atau penduduk tetapnya yang mempunyai pasport yang sah bagi tempoh dua tahun layak mendapatkan kad Penjelasan Automatik Malaysia dengan bayaran RM30 atau S$12 bagi tempoh setahun.

"Kami juga sedang mengkaji kemungkinan membolehkan mereka memohon kad itu di kompleks beli-belah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tembakan Di Kuari: Dua Maut

Artikel Berikut

Artikel Lain