Misteri Selubungi Penemuan 169 Mayat Tidak Dikenali - Dunia | mStar

Misteri Selubungi Penemuan 169 Mayat Tidak Dikenali

BANGKOK: Misteri menyelubungi penemuan 169 mayat tidak dikenali yang tertanam di tiga kuil di Rayong, kira-kira 180 kilometer di selatan ibu kota pada Sabtu.

Kumpulan Baju Merah khuatir mayat itu mungkin membabitkan 60 penunjuk perasaan mereka yang hilang ketika demonstrasi jalanan tahun lepas, namun polis berkata terlalu awal untuk membuat rumusan kerana siasatan sedang dijalankan.

Yayasan Buddha-Pratip, sebuah pertubuhan bantuan sukarela, mendakwa mayat itu terdiri daripada warga asing, mangsa bencana alam dan mereka yang tidak dikenali serta tidak mempunyai saudara-mara.

Mayat mereka ditemui yayasan berkenaan sejak 10 tahun lepas dan dikebumikan di kawasan terbabit.

Yayasan itu kini bersiap sedia melakukan satu lagi upacara pengkebumian bagi mayat berkenaan pada tahun depan.

Pemimpun Baju Merah Thida Thavornseth pula mendesak kerajaan agar menyiasat sama ada 60 anggotanya adalah antara mayat tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Khas Tharit Pengdit berkata polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan orang yang membabitkan penunjuk perasaan dari Kumpulan Baju Merah pada tahun lepas.

Seramai 91 orang maut dan lebih 1,800 yang lain cedera ketika kekacauan meletus sekitar bulan April hingga Mei tahun lepas, apabila Kumpulan Baju Merah melancarkan demonstrasi jalanan bagi mendesak Parlimen Thailand dibubarkan.

Tharit berkata orang ramai perlu membiarkan polis menyiasat perkara itu sebelum merumuskan bahawa penunjuk perasaan Kumpulan Baju Merah merupakan antara mayat yang ditemui itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab terhadap isu keselamatan, berkata pentadbiran sebelum ini tidak percaya pegawai kerajaan terlibat dengan perbuatan melupuskan mayat tersebut.

"Pegawai keselamatan tidak menyembunyikan atau melupuskan sebarang mayat," katanya.

Pakar forensik terkemuka Thailand Porntip Rojanasunan, yang juga Pengarah Institut Sains Forensik Pusat Kementerian Kehakiman, berkata ujian DNA boleh membantu mengenal pasti mayat berkenaan, namun ia tidak akan dapat mengetahui bagaimana, bila dan di mana mereka mati.

Pengerusi Yayasan Buddha-Pratip Sangaung Ninrattanotai, yang berpangkalan di di Wilayah Chumporn, berkata beberapa bulan lepas, rangkaian yayasan itu di Rayong meminta mereka mengkebumikan mayat tersebut kerana tidak dituntut.

"Sejak 10 tahun lepas, kami mengkebumikan banyak mayat yang tidak mempunyai saudara-mara. Kami turut mengadakan upacara sembahyang sempena pengkebumian mereka", katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan terdapat sejumlah 165 mayat dan bukan 169 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Kami ada bukti bergambar berkaitan semua mayat. Sesetengah mayat berusia lebih 10 tahun dan saya ingin mengesahkan bahawa upacara sembahyang akan diadakan untuk semua mayat pada tahun depan.

"Apa yang pasti, mereka bukan mayat penunjuk perasaan daripada Kumpulan Baju Merah," katanya.

Amalan biasa bagi penduduk Thailand berbangsa Cina yang beragama Buddha ialah mayat mereka digali semula dan dibakar selepas 10 tahun dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Sawee Kolonel Supoj Boonchuduang berkata yayasan itu menyerahkan permit bagi menjalankan upacara pengkebumian kedua yang dikenali sebagai 'Lang Pacha' pada bulan Ogos tahun lepas.

"Bagaimanapun, yayasan itu tidak memaklumkan jumlah mayat yang terlibat, namun pemeriksaan awal mengesahkan ia rangka manusia, dan mereka mempunyai dokumen yang diperlukan dari segi undang-undang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pesawat Red Arrow Terhempas

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain