suria

Menteri Pertahanan Poland Letak Jawatan Selepas Laporan Terperinci Nahas Pesawat Yang Korbankan Presiden Lech Kaczynski Dikeluarkan

WARSAW: Menteri Pertahanan Poland, Bogdan Klich meletakkan jawatannya serta merta selepas laporan terperinci mengenai punca nahas pesawat yang mengorbankan Presiden Lech Kaczynski di Rusia tahun lalu dikeluarkan untuk tatapan umum.

Perdana Menteri, Donald Tusk mengesahkan peletakan jawatan anggota kabinetnya itu.

Laporan itu antara lain menyebut bahawa Angkatan Tentera Poland mengakui bahawa krew pesawat berkenaan tidak cukup latihan dan persediaan ketika menerbangkan pesawat malang itu di Rusia.

"Ekoran daripada itu, Menteri Pertahanan, Bogdan Klich telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada saya pada Khamis dan saya menerimanya dengan hati yang berat hari ini (Jumaat)," ujar Tusk kepada para wartawan selepas penerbitan laporan itu yang disediakan atas arahan kabinet.

Kata Tusk, beliau akan mencalonkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tomasz Siemoniak untuk dilantik sebagai menteri pertahanan yang baru.

Laporan itu turut menyebut, juruterbang pesawat berkenaan telah melakukan beberapa kesilapan dan pertimbangan ketika mereka sedang menghampiri Lapangan Terbang Smolensk di Rusia dalam keadaan kabus tebal April tahun lalu.

Pesawat tersebut membawa Presiden Kaczynski dan pegawai tinggi kerajaan ke Rusia.

Menurut laporan itu lagi, Komander pesawat berkenaan, pembantu juruterbang dan pegawai pemandu arah (navigator) tidak menjalani latihan yang sewajarnya malah tidak menguasai bahasa Rusia dengan baik dan cekap.

Mereka juga tidak mempunyai maklumat yang lengkap mengenai keadaan cuaca di tempat destinasi.

Dalam pada itu, perdana menteri Poland itu juga berkata bahawa beliau tidak pernah walau sekali pun meletakkan kesalahan tersebut di bahu Bogdan Klich tetapi menegaskan bahawa menteri pertahanannya itu mengambil pertanggungjawaban bahawa jika beliau terus kekal sebagai menteri, ia akan menjadi lebih sukar untuk pihak kerajaan melaksanakan syor-syor yang telah dicadangkan oleh laporan berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain