suria

Malaysia Majukan Ekopelancongan Tarik Lebih Pelawat India

NEW DELHI: Malaysia sedang giat berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai destinasi ekopelancongan lebih menarik untuk memikat hati lebih ramai pelancong India yang begitu meminati kegiatan berasaskan alam semula jadi, kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 54 peratus warga India yang melawat Malaysia lebih menggemari pelancongan desa atau melibatkan diri dalam kegiatan berasaskan alam semula jadi.

"Kami sedang merangka satu rancangan strategik untuk mempromosikan ekopelancongan. Kami mempunyai kelebihan apabila menggabungkan alam semula jadi dengan budaya dan apabila ini dilakukan, orang akan meminatinya," kata Mamit.

Dianggarkan 690,000 rakyat India melawat Malaysia pada tahun lepas dan jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 17 peratus daripada tahun sebelumnya.

Para pegawai pelancongan Malaysia sedang berusaha untuk menarik sebanyak 720,000 pelancong pada tahun ini.

India merupakan pasaran pelancongan kedua terbesar bagi Malaysia di luar Asean selepas China, yang menyaksikan hampir satu juta rakyatnya mengunjungi Malaysia.

India juga tersenarai sebagai antara pasaran pelancong paling pesat berkembang di dunia dan Pertubuhan Pelancongan Dunia meramalkan 50 juta rakyat negara ini akan melancong ke luar negara menjelang 2020.

"India merupakan sebuah pasaran yang sedang berkembang, manakala rakyatnya pula kini menikmati pendapatan lebih tinggi. Mereka ke Malaysia untuk membeli-belah dan menikmati keindahan yang terdapat di bandar serta desa," kata Mamit.

Ditanya tentang cabaran besar yang dihadapi pasaran India, beliau berkata isu berkaitan visa merupakan sungutan yang paling banyak disuarakan oleh pihak yang terlibat dengan industri pelancongan.

"Kebanyakan mereka menyuarakan tentang isu visa, visa transit dan visa semasa tiba. Kami kena lihat perkara ini dan mecari jalan untuk menyelesaikannya secara kreatif," kata beliau.

Sementara itu, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia sedang melaksanakan misi jualannya di empat bandar raya India iaitu Chennai, Hyderabad, Pune dan Delhi.

Mamit, yang mengetuai misi itu, akan melawat Dhaka, Bangladesh, selepas Delhi.

Lebih 40 pengusaha pelancongan dan hotel terkemuka dari Malaysia menyertai misi jualan itu ke India dan Bangladesh.

Tahun lepas, 24.6 juta pelancong antarabangsa melawat Malaysia dan membolehkan kerajaan meraih hasil berjumlah RM56.5 bilion. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain