suria

Politik Thailand heret negara anggota Asean

BANGKOK: Krisis politik tempatan Thailand yang berlarutan kini bertukar corak apabila negaranegara jiran turut diheret ke dalam kancah perbalahan antara dua pihak yang bermusuhan.

Beberapa hari selepas pemimpin utama Kemboja dan Thailand berbalah tentang layanan yang diberikan kepada bekas perdana menteri disingkirkan Thaksin Shinawatra sehingga membayangi Sidang Kemuncak ke-15 di Hua Hin, beberapa perkembangan lain yang dikaitkan dengan Thaksin dilihat turut mengaitkan negaranegara jiran Thailand ke dalam kancah pertelingkahan negara itu.

Surapong Towijakchaikul, seorang Anggota Parlimen Pheu Thai yang dikaitkan dengan Thaksin, mendakwa seorang pemimpin Asean telah menginap di sebuah rumah milik bekas perdana menteri itu ketika menghadiri sidang kemuncak.

Kerajaan Thailand tidak menafikan atau mengesahkan dakwaan itu, Namun, jurucakap Panithan Watanayakorn memberitahu akhbar tempatan bahawa penganjur menyediakan kemudahan penginapan kepada semua pemimpin tetapi terserah kepada mereka untuk mengadakan kegiatan peribadi masing-masing.

Pemimpin Asean itu yang dikatakan tiba sehari lebih awal di pusat peranginan venue persidangan, bagaimanapun tidak menghadiri upacara perasmian sidang kemuncak dan pelancaran badan hak asasi pertama rantau itu.

Menteri Luar Kasit Piromya, yang tidak mahu membesarbesar ketidakhadiran pemimpin itu pada majlis perasmiaan, berkata pemimpin itu perlu berehat selepas melakukan lawatan ke negara lain sebelum menghadiri sidang kemuncak di Hua Hin.

Pengerusi Pheu Thai yang baru dipilih, Chavalit Yongchaiyudh yang juga bekas perdana menteri telah mengumumkan beliau akan melawat Malaysia dalam masa terdekat dan berhasrat menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan akan turut melawat Myanmar.

Chavalit, yang pada minggu lepas melawat Phonm Penh, dan kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, yang mengejutkan Thailand apabila mendakwa Thaksin diberi layanan buruk.

Sebaik tiba di Hua Hin, Hun Sen memberitahu media bahawa beliau akan menawarkan jawatan penasihat ekonomi kepada Thaksin.

Nattawut Saikua, seorang pemimpin kumpulan berbaju merah antikerajaan United Front for Democracy Against Dictatorship (UDD), berkata lawatan Chavalit akan membantu mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.

"Lawatan ini bagus untuk Thailand, terutama untuk mencari penyelesaian masalah di Selatan Thailand," katanya.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Thailand, Thani Thongpakdi berkata beliau percaya kerajaan Malaysia mengetahui bahawa kedatangan Chavalit adalah urusan peribadi.

Pheu Thai, yang ditubuhkan akhir tahun lepas oleh para penyokong Thaksin selepas parti mereka sebelum ini People's Power Party (PPP) diharamkan ekoran penipuan semasa pilihan raya, telah menggiatkan kempen untuk menggulingkan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva atau sekurang-kurangnya mendesak beliau supaya mengadakan semula pilihan raya.

UDD merancang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan besar di bandar raya ini bulan depan selepas mengadakan konsert di Khao Yai bagi mengutip dana untuk membiayai pergerakan itu. BERNAMA

Artikel Lain